Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah....Segala puji dan syukur kepada Allah, Dzat yang Maha Agung. Selawat serta salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.
Kelahiran insan yang mulia sangat dinanti-nanti. Mari kita telusuri beberapa peristiwa yang menakjubkan terjadi sebelum Rasulullah sallallahu alaihi wasallam lahir ke dunia.
Semasa Rasulullah sallallahu alaihi
wasallam berada dalam kandungan bondanya, Aminah, beliau tidak merasai
kepayahan sebagaimana yang dialami oleh ibu-ibu yang hamil. Malaikat datang dan
mengkhabarkan bahawa beliau mengandungkan seorang nabi dan penghulu seluruh
umat manusia. Selain itu, tanda kehamilannya ialah haidnya terputus dan
berpindah cahaya daripada wajah Abdullah kepada wajahnya.
Pada masa Allah subhanallahu wa taala
memasukkan Nur Muhammad ke dalam rahim Aminah, malaikat diperintahkan untuk
membuka pintu Firdaus dan menghebahkan kepada seluruh penduduk langit dan bumi.
Tanah-tanah kering di sekitarnya menjadi subur, pepohon kayu rimbun serta
berbuah lebat. Haiwan-haiwan di darat dan laut sibuk membicarakan berkenaan
kelahiran insan yang bakal menjadi rahmat bagi sekalian alam. Masya Allah.
Peperangan tentera bergajah datang
menyerang Kota Makkah yang dirakamkan oleh Allah subhanallahu wa taala dalam
surah al-Fil. Ketua tentera bergajah datang dengan menunggang seekor gajah
besar bernama Mahmud. Namun, dengan izin Allah subhanallahu wa taala,
gajah-gajah itu berhenti dan berundur. Masya Allah. Tidak lama setelah itu,
sekumpulan burung Ababil datang membawa batu dan menyerang serta menghancurkan
mereka. Setiap batu kecil yang menimpa mereka akan menanggalkan daging-daging
mereka. Tidak ada satu pun yang tersisa apabila Allah subhanallahu wa taala
murka dan mengazab sesiapa sahaja yang menentang Dzat yang Maha Agung.
Aminah turut mengalami mimpi yang
menakjubkan. Beliau mendahkan tangan ke langit dan melihat sendiri malaikat
turun dari langit. Kemudian, malaikat tersebut berdiri di hadapannya.
Malaikat
berkata,” Khabar bahagia untuk saudara, wahai ibu daripada seorang nabi. Putera
saudara itu menjadi penolong dan pembebas manusia. Namakan dia Ahmad.”
Ketika Aminah melahirkan nabi Muhammad
sallallahu alaihi wasallam, Asiah dan Maryam juga menemani beliau. Hal ini
menujukkan bahawa Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam mempunyai darjat
yang lebih tinggi daripada Nabi Isa alaihi assalam dan Nabi Musa alaihi
assalam. Kitab Taurat dan Injil juga menerangkan tentang kelahiran seorang
nabi, penutup semua nabi dan rasul.
Wallahu a’lam.
Sedikit muhasabah khusus buat diri dan sahabat-sahabat yang dikasihi Allah,
Kita mulia kerana Islam, kita istimewa kerana kita umat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Maka, kita tidak mempunyai sebab untuk berbangga dengan diri kita. Pujilah Allah banyak-banyak, berselawatlah untuk Rasulullah banyak-banyak. Jika tidak mampu, sebelum tidur, berselawatlah. Carilah masa, hatta, beberapa saat untuk kita berselawat kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Jika bukan kerana perjuangannya bersama para sahabat, cintanya yang tulus buat umatnya yang dirindui, kita tidak akan merasai nikmat iman dan islam. Dua nikmat ini adalah nikmat yang terbesar. Nikmat ini Allah bagi kepada orang-parang terpilih sahaja. Namun, sejauh mana kita menghayati dan mensyukuri nikmat yang Allah berikan ini. Belum termasuk nikmat yang ada pada diri kita, MasyaAllah. Mari menjadi hamba yang tahu diri, tahu bersyukur. Allah tidak rugi jika kita ingkar perintahNya, kitalah yang rugi dan celaka, nauzubillah.
p.s: Allah adalah tujuan kita, Rasulullah teladan kita.
Rujukan:
Rusydi Ramli al-Jauhari. (2012). Biografi
agung Rasulullah sallallahu alayhi wasallam. Peristiwa menakjubkan
sebelum kelahiran Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, m.s: 10-11.
mustread sdn bhd: Selangor
Kuliah Maghrib, Ustaz Muhsinul Nidzam Abdullah
No comments:
Post a Comment