Sunday, February 3, 2013

BERGURU DENGAN SEBATANG PENSEL



There are five important lessons that you could learn from a pencil.


Pensel mengingatkan kita mampu melakukan sesuatu yang hebat dalam hidup.  Bangunan-bangunan yang gah terbina di atas kertas sebelum mereka didirikan di atas bumi Allah.  Lakaran-lakaran hitam putih dinilai sebagai seni yang sangat bernilai.  Pensel melahirkan orang-orang yang hebat.

Pensel tanpa pemegangnya hakikatnya ‘kaku’ walau sehebat manapun pensel itu.  Begitulah juga diibaratkan manusia.  Selama mana manusia itu hidup,akan ada kuasa yang memegangnya. Dan itu adalah ALLAH SWT, pencipta alam semesta.  Allah akan membimbing kita menurut kehendak-Nya. Selama mana manusia itu menyerahkan diri kepada Allah, insyaAllah, selama itu juga hidupnya akan mendapat kemuliaan.  Ingatlah bahawa kemuliaan itu bukanlah semata-mata dengan ketinggian pangkat, banyaknya wang, besarnya rumah.  Namun, kemuliaan itu adalah dengan mendapat naungan dan rahmat Allah. Hidupnya terpelihara daripada dosa dan perkara-perkara mungkar.  Redalah terhadap apa yang telah ditentukan oleh Allah, pencipta kita, kerana Allah mengetahui apa yang terbaik buat diri kita.



Dalam keasyikan kita menulis, mata pensel itu akan tumpul. Mahu atau tidak, kita perlu mengasahnya.  Pensel ini pasti menderita ketika diraut, namun hasilnya ia akan menjadi tajam dan bagus tulisannya.  Begitu jugalah yang akan berlaku dalam hidup kita.  Keperitan dan kesusahan dalam hidup itu terpaksa ditempuhi bagi membentuk diri kita menjadi lebih baik. Subhanallah.  Orang-orang yang berjaya dalam hidupnya juga menempuh beribu satu kesulitan.  Tidak ada yang akan terkecuali. Maka, bersabarlah kerana setiap sesuatu itu datangya daripada Allah, baik yang buruk mahupun yang baik.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ، فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ، صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

“Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2999)



Pensel ini mungkin menghasilkan tulisan yang salah.  Namun, kesalahan-kesalahan itu boleh diperbetulkan.  Lumrah manusia yang penuh dengan kelemahan tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan.  Berhenti daripada menyalahkan diri apabila melakukan kesalahan, dan belajarlah daripadanya. Sesungguhnya, kesalahan adalah guru yang paling mujarab.  Lazimkan muhasabah diri. InsyaAllah, kita akan mengenali siapa kita yang sebenarnya.  Orang yang mengenali dirinya sendiri adalah orang yang hebat.


Luar atau isi pensel yang lebih penting?
Sudah tentu karbon di dalam pensel yang lebih penting. Maka, begitu jugalah dengan diri kita. Kecantikan fizikal tidak menjamin kecantikan dalaman kita.  Jagalah hati kita dengan sebaik-baiknya.  Pastikan hati kita tunduk dangan sebenar-benar tunduk kepada Allah.

“Dalam diri seseorang itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka seluruh dirinya juga baik. Jika buruk daging itu, maka buruklah seluruhnya. Ketahuilah, bahawa daging itu adalah hati.”


Pensel ini tidak pernah gagal meninggalkan goresan.  Sama ada sengaja atau tidak sengaja, di mana sahaja pasti akan meninggalkan tanda.  Ingatlah, setiap perkataan dan perlakuan kita akan meninggalkan kesan pada diri kita dan orang lain. Bijaklah dalam berkata-kata dan berhati-hatilah dalam setiap tindakanmu.

“Hablu min Allah, wa hablu minannas”.


wallahu a'lam...senyum.





Rujukan:
Solusi isu no.35: sihat tanpa maksiat, 31.
Sampai bila harus sabar?
http://an-nawawi.blogspot.com/2012/06/sampai-bila-harus-sabar.html

No comments: