Showing posts with label Bulan Islam. Show all posts
Showing posts with label Bulan Islam. Show all posts

Monday, July 30, 2012

Hamba Ramadhan atau Hamba Allah?



Moga kita semua merupakan hamba ALLAH yang menjadikan Ramadhan ini sebagai titik perubahan dalam hidup terutama dari segi penghayatan amal ibadah. Jangan pula merasakan, "Oh, maksudnya aku tak bolehlah nak lakukan amalan ekstra dalam bulan puasa sebab sebelum ini pun aku tak tak pernah/jarang buat semua tu."

Duhai sahabat-sahabat yang dirahmati Allah.....bukan begitu.

Seperti yang ditulis tadi, jadikanlah Ramadhan pada kali ini sebagai titik permulaan untuk kita mula melatih diri untuk solat berjemaah di masjid, qiamulail (sedikit demi sedikit. dapat solat sunat tahajud 2 rakaat pun dah kira baik untuk permulaan) dan sebagainya andai sebelum ini tidak pernah atau jarang sekali kita laksanakan. Selepas tamatnya bulan Ramadhan kelak, andai dipanjangkan usia, cubalah untuk berpuasa sunat Isnin dan Khamis. Tidak dapat dua hari, sehari pun ok. Tekadkan azam dan pasangkan niat untuk terus istiqamah menambah amal ibadah kita sehingga kita keluar dari madrasah Ramadhan ini. insyaALLAH..
sekadar ingatan buat sahabat-sahabat dan krew PenaPGPI sendiri. 

aLlahu'alam. =)

Tuesday, May 22, 2012

Bulan Tujuh Tahun Qamariah

Assalamualaikum teman-teman PenaPGPI yang dirahmati ALLAH
Apa khabar?
Ada yang demam kah dalam menghadapi helaian kertas peperiksaan dunia? =)
Krew PenaPGPI mendoakan moga segalanya dipermudahkan ALLAH. Moga TENANG dalam menghadapinya.

Teman, sedarkah kita bahawa 1 Rejab telah pun membuka tirainya kembali pada tahun ini? Bila tibanya bulan Rejab, kita digalakkan untuk menzalimi sebuah doa seperti dibawah:

(aminnnn~)

Jom kita kenali bulan Rejab..


Bulan Rejab adalah salah satu bulan yang mulia dan banyak kelebihannya. Nabi Muhammad saw dalam satu hadis menyatakan bahawa Rejab itu bulan Allah. Sabda baginda yang bermaksud:

 "Sesungguhnya Rejab adalah bulan Allah, Syaaban adalah bulanku dan Ramadan adalah bulan umatku".

Rejab dalam bahasa Arab bererti agung. Bulan ini dinamakan Rejab kerana pada bulan ini orang Arab zaman jahiliah dan awal Islam sangat menghormati dan mengagungkannya. Menurut satu kisah, di zaman dahulu, khususnya sebelum dan awal Islam, pada bulan ini petugas Kaabah membuka pintunya sebulan penuh, sedangkan pada bulan lain pintu Kaabah hanya dibuka pada hari Isnin dan Khamis. Ini kerana Rejab adalah bulan Allah. Kaabah pula adalah rumah Allah. Kita adalah hamba Allah. Oleh itu, bagi mereka tiada sebab mengapa hamba Allah dilarang memasuki rumah Allah pada bulan Allah ini. Dalam hal berkaitan, Saidina Abu Bakar pernah berkata: "Apabila tiba malam Jumaat yang pertama dalam Rejab, maka semua malaikat dari segenap penjuru sama ada dari udara, laut dan darat berkumpul di sekeliling Kaabah"

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah At-Taubah ayat 36:
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَات وَالأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلاَ تَظْلِمُواْ فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ وَقَاتِلُواْ الْمُشْرِكِينَ كَآفَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَآفَّةً وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ


Bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi hukum Allah ialah dua belas bulan, yang telah ditetapkan dalam kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama kamu yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu dengan melanggar larangannya.Dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa" 



Istimewanya bulan ini, pada 27 Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra' dan Mikraj kepada Rasulullah s. a. w. Pada malam itu, baginda diangkat ke siddaratul muntaha (langit ketujuh) bertemu secara langsung dengan Allah.

Dengan izin Allah, baginda melihat keadaan syurga dan neraka dan bagaimana umatnya serta umat yang terdahulu menerima ganjaran kebajikan dan pembalasan dosa yang mereka lakukan di dunia. Ketika bertemu Allah, Rasulullah saw juga diperintah mengerjakan sembahyang lima waktu sehari semalam yang mulanya diwajibkan sebanyak 50 waktu. Inilah keriangan yang paling tinggi daripada Allah kepada Rasulullah dan umatnya hingga ke hari kiamat.

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ

Maksudnya: "Maha Suci Allah yang memperjalankan hambaNya (Nabi Muhammad) ada satu malam dari Masjid Haram ke Masjid Aqsa yang kami berkati sekelilingnya, untuk kami perlihatkan kepadanya tanda-tanda Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat".
(Surah al-Isra', ayat 1)

Imam Nawawi seorang tokoh perundangan dalam Islam, menyatakan dalam kitabnyaSyarah Muslim: Perkara sebenar yang telah disepakati sama ada oleh ulama fiqh (fuqaha), ulama ahli hadith (muhaddithin) dan ulama ilmu kalam atau ilmu tauhid (mutakallimin), begitu juga para sahabat (atsar) dan para ulama dahulu dan mutakhirin, bahawa Nabi Muhammad s. a. w. telah diisra' dan dimikrajkan oleh Allah s. w. t. dengan roh dan jasadnya sekali. Begitu juga Al Imam Ibnu Hajar mempunyai pendapat yang sama dalam perkara tersebut.

Menurut Imam Nawawi, tiada alasan untuk menolak hakikat Isra' Mikraj Nabi s. a. w, dengan roh dan jasadnya sekali, kerana peristiwa Isra' dan Mikraj agung itu bukan atas usaha ikhtiar Nabi s.a.w sendiri, sebaliknya Nabi s.a.w menghebahkan kepada orang ramai bahawa baginda telah diisra' dan dimikrajkan oleh Allah s. w. t. bersama malaikat Jibril. Kenderaan yang disediakan oleh Allah s. w. t. bernama buraq iaitu kenderaan yang dicipta dari cahaya. Buraq kenderaan khusus untuk suatu pengembaraan Nabi s.a.w dalam perisitiwa bersejarah diisra' dan dimikrajkan ke langit. Ini bermakna bahawa Isra' Mikraj adalah suatu peristiwa di luar kemampuan Nabi s.a.w untuk melakukannya, sebaliknya ia dikehendaki oleh Allah s. w. t. berlaku ke atas diri Nabi s.a.w dengan dibantu oleh malaikat Jibril a. s.

Allah SWT melalui firmanNya dalam ayat pertama surah Al Isra', menjelaskan tentang peristiwa Isra' memulakan dengan kalimah Subhana "Maha Suci Allah." Ertinya, Allah SWT itu Maha Suci dari segala sifat kekurangan dan kelemahan. Sekalipun peristiwa Isra' Mikraj itu perkara luar biasa(ajaib) di sisi akal manusia, tetapi bagi Allah s. w. t. Yang Maha Suci dari sifat kelemahan, maka Dia boleh melakukan apa jua perkara pelik menjadi perkara biasa dan tiada yang mustahil bagi-Nya.

Kalaulah peristiwa Isra' Mikraj itu sekadar Nabi s.a.w bermimpi pergi ke Baitul Muqaddis dan juga mimpi naik ke langit, maka kaum musyrikin Makkah tidak akan marah dan mempersenda Nabi s.a.w, kerana mimpi adalah perkara biasa bagi semua orang. Bukan Nabi Muhammad sahaja yang boleh bermimpi naik ke langit, bahkan orang yang bukan taraf nabi pun boleh bermimpi serupa itu juga.

Dalam peristiwa ini, baginda Rasulullah s. a. w. dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. 

Antaranya : Satu kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah s. a. w. diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

Firman Allah:

ن مَّثَلُ الَّذِينَ يفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّئَةُ حَبَّةٍ وَاللّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاء وَاللّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ


Maksudnya: "Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan allah Maha luas kurniaanNya lagi meliputi ilmu pengetahuanNya".

Baginda juga melalui suatu tempat yang berbau harum. Rasulullah s. a. w. diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Firaun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Firaun sebagai Tuhan).

Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah, "Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang)."

Rasulullah juga diperlihatkan, sekumpulan manusia yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail, "Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka".

Baginda juga melihat satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail, "Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami".

Jadi, teman-teman PenaPGPI, mudah-mudahan perkara yang diperlihatkan oleh Allah kepada Baginda Muhammad s.a.w. dapat dijadikan pengajaran kepada kita semua untuk mendapat rahmat dan kesejahteraan di dunia dan akhirat. (sumber)

insyaALLAH..



Tuesday, September 13, 2011

Raya Oh Merdeka

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, syukur kepadaMu, ya ALLAH atas tiap-tiap kurnianMu pada kami hambaMu. Pada tahun ini sudah masuk tahun ke-54, negara kami memperoleh kemerdekaan dan dapat mengecapi atmosfera keamanan tanpa berbau darah dan gas beracun di merata tempat. Tidak melihat mayat bergelimpangan di mana-mana dan tidak mendengari laras senjata yang digunakan sesuka hati untuk meragut nyawa yang tidak berdosa.

Nampaknya, sudah lama PenaPGPI tidak menelusuri dan mencoret serba sedikit di dalam blog ini untuk beberapa minggu. Kami memohon maaf atas kelambatan entri terbaru di sini.

'Raya Merdeka' atau 'Merdeka Raya' (mana-mana pun boleh) merupakan jalan cerita sambutan Eidulfitri kita pada tahun ini.

Salam Eidulfitri dan Salam Kemerdekaan diucapkan buat teman-teman PGPI. Bagaimana dengan puasa enam kita? Sudah atau belum? Atau 'tak payah lah'. =). (Teman-teman teruskan pembacaan kalian dibawah)

Dalil Puasa Sunat Enam Syawal.


Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda: 
                                       مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ. رواه مسلم.



Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164]. 



Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. 

Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.



Sumber: TranungKiteOnline

Teman-teman walaupun  Puasa Enam Syawal itu adalah sunat (Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama’ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal)), namun ia mempunyai hikmahnya yang tersendiri bagi pelakunya. Hikmah dari sudut kesihatan, seperti yang kita sedia maklum sistem pencernaan kita semasa di dalam bulan Ramadhan berehat di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri. 

Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah swt, alangkah baik seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di dalam bulan Ramadhan dapat diteruskan di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Hal ini seperti menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada ALLAH. (taqarrub = mendekatkan diri)

Ayuh, PenaPGPI menyeru diri kami serta teman-teman untuk kita sama-sama melaksanakan puasa enam terutama kepada yang masih lagi belum memulakannya. Kita masih ada beberapa hari lagi di dalam bulan Syawal. Jom!

Tanah tumpah darahku~
Ehsan: Google Image
PenaPGPI beralih kepada perihal kemerdekaan. Satu soalan cepumas PenaPGPI, "Sudahkah kita benar-benar merdeka?" atau dengan ayat lain "Merdekah kita?". Mungkin ada yang terkejut dengan persoalan yang diutarakan dan mungkin juga sudah biasa mendengarinya. Namun, inilah persoalan yang perlu benar-benar kita jadikan sebagai medium muhasabah diri. Ya, benar. Malaysia (alhamdulillah) secara 'kasar'nya sudah tidak mempunyai kepala bermata biru mahupun bermata sepet untuk mengemudi bahtera layar negara. Sudah tiada lagi kepala yang hilang akibat dipenggal penjajah yang 'gila darah' dan tiada lagi kerahan tenaga bagi mengumpul khazanah bumi tercinta buat manusia 'berkepala emas'. 

Andai teman-teman telus dalam muhasabah diri, apakah sebenarnya jawapan kepada soalan diatas sebentar tadi terutama apabila melihat diri sendiri. Tidak usah kita melilau mencari jawapan untuk orang lain. Yang seharusnya segala jawapan berdasarkan diri kita sendiri. Diri kita sebagai seorang Muslim setepatnya; serta juga lihat diri kita sebagai seorang warga Malaysia secara amnya. 

Sebagai seorang Muslim yang menyatakan 'Tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH, nabi Muhammad pesuruh ALLAH', dimanakah letaknya ia di dalam jiwa kita?

Benarkah kita merdeka dengan sebenar-benar merdeka? 

Berhati-hatilah teman-teman..

Berhati-hatilah kita dengan segala macam jalan dunia yang suka melihat kita (Muslim) tergelincir dari jalan yang benar ini. Pelbagai jalan dan cara yang digunakan untuk menghancurkan kita. Teringat PenaPGPI akan sebuah kisah perihal ini. 

Kisah seorang paderi yang sedang menurunkan 'ilmu'nya kepada kader-kader paderi yang baru. Soalan yang dilontarkan kepada kader-kadernya ialah," Bagaimana kita ingin menjauhkan umat Islam dari Al Quran?" sambil meletakkan sebuah mushaf al-Quran di tengah permaidani yang dibentang. 
Lalu salah seorang kader paderi dengan yakin berkata, " Mudah saja!..kita ambil sahaja Al Quran di tengah permaidani itu!"

Balas ketua paderi," Tidak sama sekali! Kita tidak akan mampu menggunakan kekerasan sekarang jika ingin menjauhkan umat Islam dari Al Quran!"

"Jadi, bagaimana?”soal kader paderi itu tadi. 
Ketua paderi tersenyum seraya berkata, " cuba kamu gulung permaidani itu perlahan-lahan."
"Baik."
"Perhatikan, Al Quran itu dapat kita kuasai tanpa perlu memijak permaidaninya bukan!?" sambil tersenyum puas,kader paderi itu tergelak sehingga terangkat-angkat bahunya dan bergemalah dewan gereja dengan hilai tawa mereka.

Ingatlah teman, 
“ Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu (Muhammad) sebelum engkau mengikuti agama (telunjuk) mereka…”

[QS; Al Baqarah(2): 120]


Merdekakanlah dirimu dalam jalan yang sebenarnya. Jalan yang membawamu bahagia selama-lamanya. insyaALLAH. Ingatlah juga bahawa Muslim itu sewaktu didunia ia 'sengsara'. Sengsara dek menahan nafsu yang bergelodak dalam diri untuk menuruti segala macam kemanisan dunia yang sementara. Namun, andai kita berjaya menghadapi 'kesengsaraan' ini dengan tabah, insyaALLAH, kemanisan yang selamanya bakal kita perolehi diakhir cerita kita kelak. insyaALLAH.

ya ALLAH, tunjukki kami jalan yang lurus.
ehsan :Google Image

Sekadar ini sahaja perkongsian dari PenaPGPI. Moga segala manfaat dapat dihayati bersama. wallahu'alam.

Saturday, August 20, 2011

Singkaplah Tabir Terakhir Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt buat teman dan sahabat PenaPGPI. 


Pejam celik kita sudah pun berada didalam 10 Ramadhan terakhir. PenaPGPI ingin mengajak teman dan sahabat juga diri untuk bersama-sama kita merebut pahala di sepuluh malam yang terakhir ini sesungguhnya di sepuluh malam yang terakhir ini. Pernah di malam itu al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke langit dunia, Baitul Izzah. Mukmin sejati semakin menggiatkan ibadah mereka khususnya di seluruh 10 malam terakhirnya, yakin pahala di salah satu dari malam-malam tersebut digandakan pahalanya sebanyak ibadah yang sama dikerjakan selama 1000 bulan!


Itulah malam Lailatul Qadar. Pada 10 malam tersebut, demi berebut untuk mendapatkannya, Rasulullah S.A.W mengasingkan dirinya dari isteri-isterinya, beriktikaf di dalam Masjid Nabawi, beribadah dan bermunajat kepada Allah S.W.T sambil diikuti oleh para Sahabat R.A. Diantara ibadah-ibadah yang boleh dilakukan ialah qiamulail, puasa fardhu, berbuka, solat Tarawih, tilawah al-Quran, berdoa, zikir, istighfar, memuhasabah diri, merancang untuk amalan diri dan sebagainya.
Disini, PenaPGPI ingin berkongsi bersama-sama teman TIPS dalam kita menghadapi 10 MALAM TERAKHIR RAMADHAN.. Jom baca!

Beberapa tips dalam merebut pahala dan kelebihan malam Lailatul Qadar :
1. Bersedia untuk merebutnya dari sekarang terutama disegi keyakinan, kesungguhan merebut peluang tahunan ini dan merancang kalender harian agar mengosongkan 10 malam-malam terakhir tersebut untuk tujuan itu semata-mata; tidak untuk kesibukan lain.
Singkaplah TABIR di 10 MALAM TERAKHIR RAMADHAN~
2. Memahami bahawa dimana jawatan, kedudukan dan kesibukan kita di dunia ini, tujuan utama manusia dijadikan ialah untuk beribadah kepada Allah S.W.T dengan penuh keikhlasan, bersedia untuk hari (Akhirat) yang tiada gunanya lagi harta dan anak-anak, melainkan orang yang bertemu Allah dengan hati yang sejahtera.
3. Putuskan dari sekarang masjid mana yang akan kita gunakan untuk iktikaf, siang dan malam, samada sebahagian atau 24 jam sehari. Pastikan AJK masjid tersebut memahami ibadah iktikaf dan qiyamullail 10 malam terakhir agar tidak berlaku masalah pengurusan dengan mereka yang tidak memahaminya.
4. Dapatkan teman agar sama-sama dapat melakukan ibadah tersebut secara berjemaah.
5. Jika anda bekerja di bawah majikan, kenalpasti hari-hari yang akan dimohon cuti agar dapat lebih hari untuk beriktikaf di masjid. Jika anda tidak dapat mengambil cuti kerja, anda boleh cuba berktikaf di masjid sepenuhnya dalam cuti hujung minggu pada hari Sabtu dan Ahad.
6. Jika anda seorang pelajar, cuba habiskan kerja-kerja rumah atau assignments SEGERA agar tidak tertimbun pada 10 malam terakhir Ramadan. Beli tiket balik kampung lebih awal agar tidak disibukkan mencari tiket nanti.
7. Bersedia untuk Aidil Fitri lebih awal agar kita tidak disibukkan nanti dengan membeli belah, memasang langsir, membuat kuih-muih, menyiap atau menjahit pakaian Raya dan sebagainya seperti yang sering berlaku pada ramai orang yang kurang memahami dan menghayati kelebihan 10 malam terakhir Ramadan.
8. Memahami bahawa asas perubahan ke arah kebaikan pada seseorang bahkan pada sesebuah umat ialah pembaikan jiwa yang ada di dalam diri masing-masing. Madrasah 10 Malam Terakhir Ramadan yang bakal dilalui boleh turut membantu mencapai ke arah perubahan tersebut.

edit dari iluvislam

Di dalam bulan Ramadhan 
Ada satu malam
Nilainya menyamai
Dengan seribu bulan

Itulah dia malam al-Qadar
Hadiah pada hambaNya yang bertaqwa

Di dalam bulan Ramadhan
Ada satu malam
Nilainya menyamai 
Dengan seribu bulan

Singkaplah tabir
Di sepuluh malam terakhir
Berlumba kita mencari keredhaanNya
Hidupkanlah malam beribadah dan iktikaf
Berdoa, bertasbih dan memohon keampunan

Malam apakah ini?
Kiraannya 83 tahun
Melangkaui kadar lazim biasa umum
Usia umat nabi pilihan
Beruntunglah bagi hamba

Di dalam bulan Ramadhan 
Ada satu malam
Barangsiapa yang mengidupkan 
LailatulQadar
Akan diampunkan dosa-dosanya yang silam

Raihan
Lailatul Qadar

notakaki: 
AYUH SAHABAT! KITA TINGKATKAN MOMENTUM DIRI DALAM 10 HARI TERAKHIR RAMADHAN INI!! AYUH SAMA-SAMA KITA HIDUPKAN MALAM2 TERAKHIR RAMADHAN!

Saturday, July 30, 2011

Marhaban ya Ramadhan~

Bismillahirrahmanirrahim~

Assalamualaikum wbt buat semua pembaca PenaPGPI dan khusunya kepada warga IPG Kampus Raja Melewar, Negeri Sembilan. Apa khabar iman kita pada hari ini? Sihat? Cergas? atau lesu dan tak bermaya. Andai lesu dan tak bermaya, ayuh sama-sama PenaPGPI mengajak diri dan teman-teman untuk sama-sama muhasabah diri terutama tentang apa yang telah kita lakukan selama ini. Baikkah..burukkah.. Moga kita semua adalah termasuk dalam manusia yang sangat peka terhadap dosa-dosa yang dilakukannya berbanding kebaikan yang ditabur di muka bumi ALLAH ini. insyaALLAH.

Marhaban ya Ramadhan...Marhaban~


Tinggal beberapa hari lagi bulan Ramadhan bakal menjengah. Bulan yang dirindui para mukminin yang mana di dalamnya terdapat pelbagai benih semaian yang disediakan ALLAHU RABBUL JALIL untuk kita semai sebagai bekalan untuk menghadapi negara akhirat kelak.  

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيَ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُواْ الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ اللّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya : (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan batil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah mengkehendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya  kamu bersyukur.
 [Surah al-Baqarah:185]

Moga BUKANlah dalam kalangan kita manusia yang menjadikan Ramadhan ini sebagai  pesta makan minum, atau tidur-tidur sahaja di siangnya. Ayuh kita isi Ramadhan kita kali ini dengan amal ibadah yang (insyaALLAH) bakal mendekatkan diri kita kepada Pencipta kita iaitu ALLAH SWT. Ayuhkita  HIDUPkan malam-malamnya dengan meletakkan dahi kita di atas sejadah untuk sujud menyembah memohon ampun kepadaNya. 

Ingatlah bahawa dengan puasa itu, ia dapat mendidik kita untuk takut kepada ALLAH SWT lantaran tiada siapa yang memantau atau memerhati orang yang berpuasa melainkan Allah s.w.t.

Prof. Doktor Wahbah az-Zuhaili. (di dalam Tafsir al Munir : Juzuk kedua/ muka surat 130. Cetakan Darul Fikri Damsyik) ketika menafsirkan ayat ini menyebut bahawa Ibadah Puasa melahirkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t melalui beberapa faktor :
1. Puasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah s.w.t. dalam keadaan sembunyi atau terbuka. Lantaran tiada siapa yang memantau atau memerhati orang yang berpuasa melainkan Allah s.w.t. (Seseorang boleh makan lalu berpura-pura lapar di hadapan manusia tetapi tidak di hadapan Allah s.w.t. Justeru Allah s.w.t adalah Tuhan yang Maha Mengetahui)
2. Mengekang keterlanjuran syahwah dan meringankan pengaruh serta penguasaannya. (lantaran puasa melemahkan gelora nafsu)
3. Mencetus naluri yang peka (sensitive) dan bersifat belas simpati terhadap insan yang lain. (Lapar sewaktu berpuasa adalah mengingatkan kita kepada mereka yang miskin dan tidak bernasib baik)
4. Ibadah puasa memahamkan kita pengertian persamaan kedudukan taraf orang–orang kaya dan miskin. (di sisi Allah s.w.t)
5. Meletakkan kehidupan Insan dan pengurusannya di atas sistem (yang benar dan menepati fitrah) dan mendisiplinkannya.
6. Memulihkan struktur dalaman tubuh, menguatkan kesihatan dan membebaskan jasad dari sebarang unsur yang memudharatkan jasad.      (sumber iluvislam)

Wallahu'alam.



p/s: Selamat berpuasa juga khas kepada guru pelatih yang sedang berpraktikum disekolah-sekolah dalam negeri Sembilan. Inilah masanya untuk kita juga berlatih untuk mengajar di bulan Ramadhan. Moga kesabaran sentiasa menebal dalam jiwa kita sebagai seorang pendidik terutama dalam menghadapi karenah anak murid yang sedang bertatih untuk menghadapi dunia yang penuh mehnah ini.


Tuesday, November 9, 2010

Kelebihan Bulan Zulhijjah- 10 Hari Pertama.

Segala kepujian dan kesyukuran ditujukan kepada Allah Ta’ala, Salawat dan Salam buat Junjungan Nabi Muhammad ‘Alaihis Solatu was Salam dan buat keluarga dan Sahabat Baginda. 


Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhia Allah ‘anhuma bahawa Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu sepuluh hari Zulhijjah-”. Para Sahabat Baginda bertanya : “Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah ?” . Ujar Baginda : “Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun”. 


Imam Ahmad Rahimahullah meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma bahawa Baginda Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”. 


Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir Radhia Allah ‘anhu bahawa Baginda Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Seutama-utama hari adalah hari ‘Arafah”. 




JENIS AMALAN YANG DIANJURKAN PADANYA. 



1. Menunaikan ibadah haji dan ‘umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadith yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam : “Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga”. 

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari ‘Arafah - . Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ianya adalah pilihan Allah Ta’ala sendiri sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith qudsi : “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”. Dari Abu Sa’id al Khudri Radhia Allah ‘anhu berkata : ‘Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tiada seorangpun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun” (muttafaq ‘alaih). Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah Radhia Allah ‘anhu bahawa Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”. 



3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir pada-Nya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum)”, hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itulah para ‘Ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah, di antaranya : “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”

Dibolehkan juga pada hari-hari tersebut berzikir dengan apa-apa zikir yang lain dan segala do’a yang baik. 

4Bertaubat dan meninggalkan segala ma’siat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana ma’siat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadith yang diriwatkan oleh Abu Harairah Radhia Allah ‘anhu, Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya” (muttafaq ‘alaihi). 

5. Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, mebaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun ia kecil tetapi ianya lebih disukai oleh Allah Ta’ala jika dibandingkan pada hari-hari lain, begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikatogerikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid). 

6. Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah. 

7. Disyari’atkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihis Solatu was Salam setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail ‘Alaihis Solatu was Salam tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih. 

8. Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah Radhia Allah ‘anha bahawa Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”. Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala, maksudnya : “(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu sampai ke tempatnya)”. 

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya. 

9. Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini ; ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan, janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan ma’siat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan-amalan kebaikan yang telah dikerjakannya sebelum itu. 

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintahNya, menjauhi laranganNya, mendekatkan diri kepadaNya semoga mendapat rahmat dan keampunanNya.


sumber : Portal JAKIM: Mufti Negeri-Terengganu