Showing posts with label Tokoh Islam. Show all posts
Showing posts with label Tokoh Islam. Show all posts

Thursday, September 15, 2011

Yusuf al-Qardawi

Yusuf al-Qaradawi.

Pernahkah anda mendengar nama ini? Kenal beliau? Kali ini PenaPGPI ingin berkongsi serba sedikit tentang beliau. 

 
ehsan: Google Image

YUSUF al-Qaradawi adalah ulama, pemikir, sarjana dan intelek kontemporari pada abad ini. Dilahirkan di Mahallah al-Kubra negeri Gharbiah, Mesir pada 1926. Sejak kecil, pemikir ini menunjukkan ciri ulama apabila menghafal al-Quran sejak kecil dan sering dipanggil menjadi imam dan menyampaikan syarahan agama di masjid kampungnya.Selepas tamat Maahad Tanta, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam fiqh al-Zakat pada 1973. Al-Qaradawi terpengaruh dengan pemikiran Imam al-Ghazali, Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim. Dalam kebanyakan penulisannya, al-Qaradawi sering mengambil pendapat tiga tokoh berkenaan.

Ketika awal kehidupannya, beliau begitu mengagumi Imam al-Ghazali dan kitab `al-Ihya` adalah buku pertama yang dibaca. Kemudian beliau membaca buku Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim, walaupun mengagumi kedua-dua tokoh itu, ia tidak menghalang beliau untuk berbeza pendapat sesetengah isu. Al-Qaradawi terkenal dengan keperibadian sederhana dan sentiasa menyeru kepada kesederhanaan dalam segala aspek. Manhaj (kaedah) beliau adalah kemudahan dalam memberi fatwa, memberi khabar gembira dalam berdakwah, tegas dalam persoalan pokok dan mudah dalam perkara cabang.

Beliau menyebutkan faedah yang diperoleh apabila terbabit dalam aktiviti dan pergerakan dakwah iaitu pergerakan dakwah memperluaskan cakerawala fikirannya dalam memahami Islam secara mantap; memahami kewajipan amal jariah; berpindah dari hanya seorang penceramah agama di kampung menjadi seorang pendakwah Islam yang bekerja untuk umat; mengubah daripada cita-cita tempatan dan terbatas pada cita-cita besar dan universal.Keinginannya tidak lagi tergantung kepada keinginan peribadi tapi menjadi cita-cita yang berkait rapat dengan umat. Sekiranya cita-cita umat itu untuk membebaskan Palestin maka itulah cita-citanya. 

Muhammad al-Ghazali menyifatkan al-Qaradawi sebagai seorang yang menggabungkan antara feqah teori dengan realiti.Menurut al-Nadwi, al-Qaradawi adalah ulama lulusan al-Azhar yang bergiat dalam bidang dakwah dengan menggabungkan aspek kefahaman Islam sebenar dengan realiti dunia semasa. Al-Qaradawi pertama kali datang ke Malaysia pada 1974. Dalam lawatan itu, beliau melawat pejabat Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan sejak itu, hubungannya begitu rapat dengan aktivis dakwah di Malaysia.Pada 1985, al-Qaradawi menyampaikan ceramahnya di Yayasan Anda dan menekankan sikap kesederhanaan yang perlu diambil pendakwah. 

Gambar semasa berada di Malaysia
Antara sumbangan besar al-Qaradawi kepada masyarakat Islam di Malaysia ialah keprihatinannya kepada manhaj kesederhanaan dalam berdakwah. Di samping itu, beliau sentiasa optimis terhadap sistem kewangan Islam dan pendapatnya mengenai kewangan Islam dijadikan rujukan pakar ekonomi di sini. Al-Qaradawi juga menyarankan agar feqah digunakan dalam khidmat dakwah kepada Islam. 
Beliau menyeru ulama supaya menguasai ilmu sehingga mencapai darjat yang membolehkan mereka membuat tarjih di antara pendapat ulama.Al-Qaradawi mengingkari golongan yang ingin menghapuskan khilaf dan menghimpunkan orang ramai dalam satu pendapat iaitu dengan mengikut pendapat mereka semata-mata.Percubaan kumpulan ini akan menambahkan lagi khilaf dan bukan mengurangkannya. Begitu juga beliau mengingkari golongan yang suka menyibuk dalam perkara khilaf yang remeh.Oleh itu, kepentingan feqah dalam dakwah mesti diasaskan dengan kebijaksanaan, toleransi, perikemanusiaan dan keadaan masyarakat. 

Beliau menggariskan beberapa jenis kefahaman sebagai usaha untuk memahami konteks dakwah yang sebenar seperti kefahaman mengenai keutamaan (fiqh al-awlawiyyat); kefahaman pertimbangan (fiqh al-Muwazanat); kefahaman mengenai realiti (fiqh al-Waqi') dan kefahaman mengenai perubahan (fiqh al-Taghayyir).

Ketika mengeluarkan pendapat dan fatwa, al-Qaradawi memilih pendapat yang kuat alasannya dan mudah kepada orang ramai. Beliau menyatakan bahawa perselisihan pendapat harus dilihat dari segi positif dan ia tidak harus dilihat sebagai keretakan dan perpecahan kepada umat Islam yang sudah sekian lama hidup berpecah belah. 

Friday, May 20, 2011

Saidina Ali Pakar Matematik


Bismillahirrahmanirrahim.
Saidina Ali digelar gedung ilmu oleh Rasulullah SAW. Bukan sahaja beliau bijak dalam permasalahan agama namun ramai diantara kita yang tidak tahu bahawa beliau juga merupakan seorang pakar matematik.
Kisah Pertama
Pernah seorang Yahudi yang berniat ingin memalukan Saidina Ali di hadapan orang-orang Arab bertanya kepadanya satu soalan.
"Wahai Imam Ali, berikan aku satu nombor bulat yang apabila dibahagi dengan nombor satu hingga sepuluh, jawapannya akan tetap nombor bulat dan bukan nombor pecahan," tanya lelaki Yahudi itu.
Saidina Ali menjawab, "Hitunglah bilangan hari dalam seminggu didarab dengan bilangan hari dalam setahun."
Yahudi itu pun mengira.
Kemudian, Yahudi itu menemukan hasilnya sebagai berikut:
- Jumlah hari dalam 1 Tahun = 360 (kalender Arab)
- Jumlah hari dalam 1 Minggu = 7
- Hasil darab dua angka diatas = 360×7 = 2520
Sekarang buktinya ...
2520 ÷ 1 = 2520
2520 ÷ 2 = 1260
2520 ÷ 3 = 840
2520 ÷ 4 = 630
2520 ÷ 5 = 504
2520 ÷ 6 = 420
2520 ÷ 7 = 360
2520 ÷ 8 = 315
2520 ÷ 9 = 280
2520 ÷ 10 = 252
Kisah Kedua
Dua pengembara sedang duduk bersama-sama untuk menikmati hidangan roti. Pengembara pertama mempunyai 5 keping roti dan pengembara kedua mempunyai 3 keping roti.
Kemudian datang seorang pengembara lagi, lalu diajaklah pengembara itu untuk makan bersama. Maka seorang pengembara memotong setiap keping roti kepada 3 bahagian yang sama besar (8×3=24). Oleh itu, seorang pengembara dapat menjamah 8 potongan roti (24/3=8).
Selesai menikmati hidangan roti tadi, pengembara ketiga itu meninggalkan mereka dan memberikan 8 dirham.
Pengembara pertama ingin membahagikan 8 dirham itu. Memandangkan dia tadi berkongsi 5 keping roti, maka dia mengambil 5 dirham dan bakinya 3 dirham lagi diberikan kepada pengembara kedua yang berkongsi 3 keping roti.
Tetapi, pengembara kedua tidak berpuas hati. Baginya, sepatutnya 8 dirham itu dibahagi dua antara mereka. 4 dirham seorang. Lalu mereka pun bertengkar.
Akhirnya, masalah ini dibawa ke hadapan Saidina Ali. Saidina Ali menyuruh pengembara kedua menerima pembahagian yang dilakukan oleh pengembara pertama kerana sememangnya pengembara pertama lebih berhak mendapat lebih disebabkan dia berkongsi bilangan kepingan roti yang lebih. Namun pengembara kedua masih tidak mahu mengalah.
Maka setelah itu, Saidina Ali pun berkata, "Sepatutnya anda hanya berhak mendapat satu dirham sahaja. 5 keping roti pengembara pertama dicampur 3 roti kamu menjadi 8.
Kemudian anda potong setiap roti kepada 3 bahagian. Maka ada 24 keping roti (8×3). Jadi 3 roti anda bila dipotong tiga setiap satu menjadi 9 bahagian, dan anda telah makan 8 bahagian. Lebih satu bahagian sahaja yang anda kongsi dengan pengembara ketiga.
Tetapi pengembara pertama, 5 rotinya dipotong tiga setiap satu menjadi 15 bahagian, dan dia telah makan 8 bahagian. Bakinya 7 bahagian lagi dikongsi dengan pengembara ketiga itu.
Jadi sepatutnya pengembara pertama harus mendapat 7 dirham dan anda hanya patut mendapat 1 dirham sahaja."
Kisah Ketiga
Sebelum meninggal, seseorang telah membuat wasiat:
"Saya ada 17 ekor unta. Jika saya meninggal dunia, bahagilah unta-unta itu antara 3 orang anak saya. Anak sulung saya, berilah dia 1/2 daripada bilangan unta saya. Anak kedua pula, beri dia 1/3 daripada bilangan unta saya. Anak ketiga saya, berilah dia 1/9 daripada bilangan unta saya."
Setelah beberapa ketika, si pembuat wasiat itu pun meninggal dan apabila anak-anaknya membaca wasiat yang ditinggalkan, mereka menjadi bingung. Macam mana nak bahagi 17 ekor unta tadi. Maka mereka pun berjumpa dengan Saidina Ali.
Saidina Ali setelah meneliti isi kandungan wasiat, berkata:
"Aku akan pinjamkan kamu seekor unta saya. Maka bilangan unta sekarang ada 18 ekor.
-Anak sulung dapat 1/2 daripada 18 ekor unta = 9 ekor
-Anak kedua dapat 1/3 daripada 18 ekor unta = 6 ekor
-Anak ketiga dapat 1/9 daripada 18 ekor unta = 2 ekor (9+6+2=17)
Dan sekarang aku ambil balik unta aku."

Friday, January 14, 2011

Mengenali Hasan Al-Banna

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum w.b.t. diucapkan kepada semua sahabat PenaPGPI. Moga kalian sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat dan dapat mengoptimumkan potensi diri sebaiknya dalam memperolehi dan berkongsi ilmu di laman kampus tersayang ini. InsyaAllah. Kali ini, PenaPGPI amat berbesar hati untuk berkongsi sedikit sebanyak mengenai profil seorang tokoh Islam yang begitu banyak menyumbang pemikiranya dalam menegakkan syiar Islam di muka bumi ini. Tokoh yang dimaksudkan merupakan penyusun zikir-zikir dan doa-doa yang diamalkan oleh Rasullullah s.a.w. yag dirangkumkan ke dalam Al-Mathurat. Beliau tidak lain ialah Imam Hasan Al-Banna.


Siapakah Hasan Al-Banna?

Hasan Al-Banna

Nama penuh beliau ialah Hasan Ahmad Abdul Rahman Al-Banna. Beliau dilahirkan di Kota Al-Mahmudiyah di kawasan Delta Nil Wilayah Buhaira, Mesir pada hari Ahad tanggal 25 Sya'aban  tahu 1324 (14 Oktober 1906). Seperti kebanyakan bangsa Mesir lainnya, beliau berasal dari keluarga desa yang sederhana yang merupakan seorang petani di sebuah desa yang digelar desa "Syamsyirah" (dekat dengan pantai kota Rasyid berhadapan dengan kota Idvina).


Datuknya bernama Abdul Rahman, seorang petani dari keluarga sederhana , namun orang tua Hasan Al-Banna, Syeikh Ahmad membesar jauh dari aktiviti bertani kerana keinginan ibunya, sehingga beliau belajar dan menghafal Al-Quran dan mempelajari hukum-hukum tajwid. kemudian beliau melanjutka pelajaran di Masjid Ibrahim Pasha di Alexandria dalam bidang hukum syariah. Sewaktu menempuh alam pendidikan, beliau bekerja di toko jam terbesar di Alexandria sehingga beliau berkelayakan memiliki keahlian dalam membaiki jam dan berdagang. Dari sinilah beliau mula dipanggil dengan panggilan " As-Sa'ati". Selain itu, kedua orang tua beliau juga memiliki keahlian dan menjadi sebahagian dari ulama hadith kerana kepandaian mereka di dalam bidang tersebut. 


Awal Perjalanan

Hasan Al-Banna memulakan pendidikannya di sekolah tahfizul Quran di al-Mahmudiyah dan memiliki kemampuan memindahkan ilmu daripada berbagai penulis sehingga orang tuanya menghantar beliau kepada para penulis kota Al-Mahmudiyah. Namun waktu yang beliau tempuhi di tempat para penulis sangat padat sehinggakan  beliau tidak dapat menyempurnakan hafalan Al-Quran kerana terikat dengan peraturan para penulis. Akhirnya beliau tidak mampu meneruskannya lalu meneruskan pengajiannya di sekolah tingkat SMP meskipun ada pertentangan dari ayahnya yang sangat menginginkan beliau supaya menjadi penghafal Al-Quran.

Setelah tamat sekolah SMP, beliau masuk ke sekolah 'Al-Muallimin Al-Awwaliyah' di Damnhour pada tahun 1923 dalam kuliah Fakulti Dar El-Ulum di Kaherah dan lulus pada tahun 1927. Selain itu, beliau juga menimba ilmu-ilmu lain di luar kurikulum kuliahnya, seperti pelajaran ilmu al-hayah, sistem pemerintahan, ekonomi politik, sebagaimana beliau menerima pelajaran tentang bahasa, sastera, hukum, geografi dan sejarah sehingga semua itu membuat beliau matang dalam berbagai ilmu pengetahuan. 

Beliau memiliki perpustakaan yang besar dan luas di rumahnya yang mengandungi ribuan buku yang berkait dengan tema yang tersebut di atas dan ditambah dengan adanya empat belas jenis majalah dari majalah mingguan yang diterbitkan di Mesir seperti majalah al-fath, al-Manar dan lain-lain lagi. Sehingga saat ini perpustakaan beliau masih ada di bawah pengawasan anaknya, ustadz" " Saif al-Islam".

Al-Banna menjalani hidupnya selama 19 tahun sebagai guru sekolah rendah di Ismailiah dan kemudiannya di Kaherah. Ketika beliau mengundurkan diri dari bidang profession perguruan pada tahun 1946, beliau telah mendapat peringkat kelima untuk menjadi PNS. Setelah itu, beliau bekerja dalam bahagaian surat khabar harian 'Ikhwanul Muslimin' dan kemudian beliau sendiri telah menerbitkan majalah bulanan sendiri yang bernama 'As-Syihab' yang mula diterbitkan pada tahun 1947. Penerbitan ini merupakan salah satu cara beliau untuk berdikari dan menambah sumber mata pencarian. Namun, akhirnya majalah tersebut dihentikan akibat pengharaman jamaah Ikhwanul Muslimin pada tanggal 8 Disember 1948.

SUMBER : Konvensyen Pemikiran Hasan Al-Banna
(Dalam Melakar Agenda Bangsa)

Setakat sini dahulu sedikit sebanyak mengenai Hasan Al-Banna. InsyaALLAH, PenaPGPI akan menyambung sedikit lagi penerangan berkenaan beliau pada entri yang lain. InsyaALLAH, pada entri yang akan datang PenaPGPI akan berkongsi berkenaan pengaruh serta kesan yang dibawa melalui pemikirannya yang sentiasa bersemangat dalam menegakkan syiar Islam di bumi ini.