Showing posts with label Mawar Berduri. Show all posts
Showing posts with label Mawar Berduri. Show all posts

Tuesday, May 8, 2012

Memahami Hadis Sanggul Tinggi Umpama Bonggol Unta Bagi Wanita

Soalan:
Ustaz, apakah hukum mengenakan sanggul yang tinggi? Saya terdengar ada seorang Ustazah yang tersohor mengatakan bahawa perbuatan itu tidaklah mendatangkan masalah, tetapi yang wajib adalah menutup aurat, jadi saya terkeliru. Harap penjelasan daripada Ustaz.

Jawapan:
Terima kasih di atas soalan yang telah diajukan. Perkara ini adalah sangat penting bagi kita selaku orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, beriman dengan kata-kata Nabi SAW. Bahagialah bagi mereka yang ikut suruhan Allah dan pesuruhnya, dan binasalah siapa yang berani melawan Allah dan pesuruhnya, walau siapa pun dia. Kerana kita percaya bahawa yang maksum itu adalah Nabi saw dan selain daripadanya itu boleh terdedah kepada kesilapan dan kekurangan. Jadi kita tidak lihat kepada siapa yang bercakap, tetapi kita lihat pada dalil dan ulasannya. Kita terima jika kata-katanya bertepatan dengan al-Quran dan as-Sunah dan kita tolak jika kata-katanya tidak selari daripadanya. Kita hanya boleh fanatik pada Allah dan Rasulnya.
Oleh itu, saya akan menjawab persoalan di atas seperti berikut:
1.   Sebenarnya, wanita adalah makhluk yang sangat dimuliakan oleh Allah Ta’ala, jika kita lihat sejarah manusia dahulu kala yang tidak beriman kepada Allah, mereka menganggap bahawa perempuan adalah hamba, hanya tempat untuk melepaskan nafsu serakah. Bukan itu sahaja, malah mereka boleh berkahwin tanpa ada had, jika ingin berkahwin 10 orang wanita, maka kahwinlah 10 orang, jika hendak berkahwin 20 orang, maka kahwinlah 20 orang. Begitulah hinanya wanita sebelum datangnya Islam. Demikian juga apabila kita lihat di dalam agama hindu, pihak perempuan yang terpaksa menyediakan hantaran mahar, sedangkan mereka dari golongan yang lemah, adakah adil seperti itu. Begitu juga di dalam agama Kristian, mereka mendakwa Nabi Sulaiman berkahwin dengan 1000 orang wanita tanpa ada had. Demikian juga umat Cina dahulu kala, perempuan-perempuan kebanyakannya adalah pelacur murahan.

Namun apabila Islam datang, ia membawa harapan baru terhadap golongan wanita, martabat mereka ditinggikan serta dihormati. Mereka ditanggung daripada lahir sehinggalah akhir hayatnya, malah mendapat juga habuan harta peninggalan, mahar kahwin, dan sebagainya. Lihat, betapa untungnya kaum wanita. Tetapi malangnya ramai yang tidak bersyukur. Tidak menghargai dan mengerti mengapa Allah meletakkan sesuatu hukum ke atasnya seperti menutup aurat dengan sempurna dan selainnya, sedangkan suruhan itu amatlah sedikit berbanding nikmat yang sangat banyak Allah kurniakan buat mereka. Mereka nampak seperti hukum itu sukar dan susah, tetapi sebenarnya semua suruhan itu membawa kebaikan kepada diri mereka.

2.   Allah SAW telah menyuruh  beberapa hal terhadap para wanita salah satunya ialah menutup aurat dengan sempurna seperti di dalam al-Quran. Perkara ini juga telah ditegaskan oleh Nabi SAW di dalam hadis yang sahih iaitu ancaman bagi mereka yang memakai pakaian ketat sehingga menampakkan bayangan tubuh, mendedahkan aurat, sanggul kepala mereka seperti bonggol unta dan sebagainya. Ini adalah amat penting untuk menjaga keselamatan mereka, di samping mentaati perintah Allah.
Antara Hadis Nabi SAW ada menyebut: “Dua golongan dari ahli neraka yang aku belum melihat kedua-duanya iaitu; (1) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu untuk memukul manusia dengannya, dan (2) Wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencederungkan orang lain kepadanya. Kepala-kepala mereka umpama bonggol-bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak akan dapat memasuki syurga dan tidak akan mencium baunya di mana bau syurga dapat dicium dari jarak perjalanan sekian-sekian jauh.” (Riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad)
Hadis ini telah disyarahkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullah di dalam kitab syarah Sahih Muslim, beliau menyebut: “Makna bonggol unta itu ialah wanita yang membesarkan kepala-kepala dengan tudung mereka, mereka meletakkan apa-apa sahaja bagi membesarkan kepala mereka, sehingga seolah-olah kelihatan kepala mereka bagaikan bonggol di atas unta. Tambahnya lagi, perkara ini adalah bukti mukjizat kenabian, perkara ini telah terbukti pada zaman ini.” (Syarah Sahih Muslim Oleh Imam an-Nawawi 17/191)
Begitu juga dapat disimpulkan makna hadis di atas dengan beberapa perkara iaitu:
  • Wanita-wanita yang memakai pakaian yang nipis yang masih menampakkan kulit atau bayangan tubuh mereka. Mereka berpakaian pada nama, namun telanjang pada hakikatnya.
  • Memakai pakaian yang menutup sebahagian aurat dan mendedahkan sebahagian lagi (iaitu tidak menutupnya secara menyeluruh kawasan aurat yang wajib ditutup).
  • Memakai pakaian yang ketat atau sendat hingga menampakkan bentuk tubuh.
Berdasarkan huraian hadis di atas amat jelas menunjukkan bahawa balasan neraka bagi sesiapa yang melakukan perbuatan di atas. Ulamak telah membahagikan dosa kecil dan dosa besar dengan memberi kaedah bahawa apa sahaja larangan dan akhirnya menyatakan murka dan balasan neraka, maka itu adalah daripada dosa-dosa besar.
Adakah patut Ustazah tersebut menyatakan sedemikian, sedangkan Ulamak besar telah menghuraikan hadis tersebut dan hadis itu adalah sahih untuk dijadikan sumber hukum.
 3.   Jika kita perhatikan juga, mereka yang memakai sanggul tinggi ini walaupun kelihatannya mereka memakai tudung, tetapi mereka sebenarnya memberi helah bagi membuktikan bahawa rambut mereka panjang dan hendak menarik pandangan lelaki. Bukanlah memakai atas dasar ikhlas ingin memenuhi suruhan Allah dan ibadah, tetapi disebabkan sebaliknya.
4.   Tetapi sekiranya rambutnya memang panjang lalu dia mengikat rambutnya sehingga kelihatan sanggul, maka dalam hal ini adalah dimaafkan oleh syara’. Diharamkan sekiranya meletakkan sesuatu selain daripada rambut sehingga kelihatan seperti sanggul buatan.
5.   Islam membenarkan fesyen, tetapi tidaklah sampai melampau dalam mengenakan fesyen sehingga melanggar suruhan Allah Ta’ala. Wallahu A’lam
sumber: FiqrahHalaqah.com
Nota Kaki:
Berhati2lah semasa membaca sesuatu ulasan yang pelik lagi memeningkan kepala. Kembalilah kita kepada al-Quran dan as-Sunah untuk memandu arah keHIDUPan kita disini agar sejahtera keHIDUPan kita di sana..insyaALLAH.


Sunday, July 3, 2011

Pramugari Koma di Tanah Suci

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah.. Syukur atas tiap-tiap nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita. Moga kita bukan termasuk ke dalam golongan manusia yang lalai dan tidak bersyukur atas kurniaanNya yang datang setiap saat dalam kehidupan kita.

Alhamdulillah, pada kesempatan entri kali ini; PenaPGPI mahu berkongsi sebuah kisah yang mungkin teman-teman dan sahabat sahabiah pernah membacanya. Kisah ini berkenaan dengan seorang pramugari yang berada di Tanah Suci Makkah. Mari kita ikuti kisahnya melalui penceritaan seorang saudara kita yang sendiri mendengar pengalaman yang dialami pramugari tersebut. Moga jadi iktibar kepada kita semua. InsyaALLAH.


Selama hampir sembilan tahun menetap di Mekah dan membantu ayah saya menguruskan jemaah haji dan umrah, saya telah melalui pelbagai pengalaman menarik dan pelik.

Walaubagaimanapun, dalam banyak-banyak peristiwa itu, ada satu kejadian yang pasti tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.Ianya berlaku kepada seorang wanita yang berusia di pertengahan 30-an. Kejadian itu berlaku pada pertengahan 1980-an semasa saya menguruskan satu rombongan haji. Ketika itu umur saya baru 20 tahun dan masih menuntut di Universiti Al-Azhar, Kaherah. Kebetulan ketika itu saya balik ke Mekah sekejap untuk menghabiskan cuti semester.Saya menetap di Mekah mulai 1981 selepas menamatkan pengajian di Sekolah Agama Gunung Semanggol, Perak. Keluarga saya memang semuanya di Mekah, cuma saya seorang saja tinggal dengan nenek saya di Perak.

Walaupun masih muda, saya ditugaskan oleh bapa saya, Haji Nasron untuk menguruskan jemaah haji dan umrah memandangkan saya adalah anak sulung dalam keluarga.Berbalik kepada cerita tadi, ketibaan wanita tersebut dan rombongan haji di Lapangan Terbang Jeddah kami sambut dengan sebuah bas. Semuanya nampak riang sebab itulah kali pertama mereka mengerjakan haji. Sebaik sampai, saya membawa mereka menaiki bas dan dari situ, kami menuju ke Madinah. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar hinggalah kami sampai di Madinah.

Tiba di Madinah, semua orang turun daripada bas berkenaan. Turunlah mereka seorang demi seorang sehingga tiba kepada giliran wanita terbabit. Tanpa apa-apa sebab, sebaik sahaja kakinya mencecah bumi Madinah, tiba-tiba wanita itu tumbang tidak sedarkan diri.Sebagai orang yang dipertanggungjawabkan mengurus jemaah itu, saya pun bergegas menuju ke arah wanita berkenaan."Kakak ni sakit," kata saya pada jemaah-jemaah yang lain.

Suasana yang tadinya tenang serta merta bertukar menjadi cemas. Semua jemaah nampak panik dengan apa yang sedang berlaku."Badan dia panas dan menggigil. Kakak ni tak sedarkan diri, cepat tolong saya, kita bawa dia ke hospital," kata saya.Tanpa membuang masa, kami mengangkat wanita tersebut dan membawanya ke hospital Madinah yang terletak tidak jauh dari situ. Sementara itu, jemaah yang lain dihantar ke tempat penginapan masing-masing. Sampai di hospital Madinah, wanita itu masih belum sedarkan diri. Berbagai-bagai usaha dilakukan oleh doktor untuk memulihkannya, namun semuanya gagal. Sehinggalah ke petang, wanita itu masih lagi koma.Sementara itu, tugas mengendalikan jemaah perlu saya teruskan. Saya terpaksa meninggalkan wanita tersebut terlantar di hospital berkenaan.

 Namun dalam kesibukan menguruskan jemaah, saya menghubungi hospital Madinah untuk mengetahui perkembangan wanita tersebut. Bagaimanapun, saya diberitahu dia masih tidak sedarkan diri. Selepas dua hari, wanita itu masih juga tidak sedarkan diri. Saya makin cemas, maklumlah, itu adalah pengalaman pertama saya berhadapan dengan situasi seperti itu.Memandangkan usaha untuk memulihkannya semuanya gagal, maka wanita itu dihantar ke Hospital Abdul Aziz Jeddah untuk mendapatkan rawatan lanjut sebab pada masa itu hospital di Jeddah lebih lengkap kemudahannya berbanding hospital Madinah. Namun usaha untuk memulihkannya masih tidak berhasil. Jadual haji mesti diteruskan. Kami bertolak pula ke Mekah untuk mengerjakan ibadat haji.Selesai haji, sekali lagi saya pergi ke Jeddah. 

Malangnya, bila sampai di Hospital King Abdul Aziz, saya diberitahu oleh doktor bahawa wanita tersebut masih koma. Bagaimanapun, kata doktor, keadaannya stabil. Melihat keadaannya itu, saya ambil keputusan untuk menunggunya di hospital.Selepas dua hari menunggu, akhirnya wanita itu membuka matanya. Dari sudut matanya yang terbuka sedikit itu, dia memandang ke arah saya. Sebaik saja terpandang wajah saya, wanita tersebut terus memeluk saya dengan erat sambil menangis teresak- esak. Sudah tentu saya terkejut sebab saya ni bukan muhrimnya. Tambahan pula kenapa saja dia tiba-tiba menangis?? Saya bertanya kepada wanita tersebut;"Kenapa kakak menangis?""Mazlan.. kakak taubat dah Lan. 

Kakak menyesal, kakak takkan buat lagi benda-benda yang tak baik. Kakak bertaubat, betul-betul taubat.""Kenapa pulak ni kak tiba-tiba saja nak bertaubat?" tanya saya masih terpinga-pinga.

Wanita itu terus menangis teresak-esak tanpa menjawab pertanyaan saya itu. Seketika kemudian dia bersuara, menceritakan kepada saya mengapa dia berkelakuan demikian, cerita yang bagi saya perlu diambil iktibar oleh kita semua. 

Katanya ;"Mazlan, kakak ni sudah berumah tangga, kahwin dengan lelaki orang putih. Tapi kakak silap. Kakak ini cuma Islam pada nama dan keturunan saja. Ibadat satu apa pun kakak tak buat. Kakak tak sembahyang, tak puasa, semua amalan ibadat kakak dan suami kakak tak buat. Rumah kakak penuh dengan botol arak. Suami kakak tu kakak sepak tendang, kakak pukul-pukul saja," katanya tersedu-sedan.
"Habis yang kakak pergi haji ini?"
"Yalah...kakak tengok orang lain pergi haji, kakak pun teringin juga nak pergi."
"Jadi apa sebab yang kakak menangis sampai macam ni sekali. Ada sesuatu ke yang kakak alami semasa koma?" tanya saya lagi.

Dengan suara tersekat-sekat, wanita itu menceritakan ;
"Mazlan...Allah itu Maha Besar, Maha Agung, Maha Kaya. Semasa koma tu, kakak telah diazab dengan seksaan yang benar-benar pedih atas segala kesilapan yang telah kakak buat selama ini.
"Betul ke kak?" tanya saya, terkejut.
"Betul Mazlan. Semasa koma itu kakak telah ditunjukkan oleh Allah tentang balasan yang Allah beri kepada kakak. Balasan azab Lan, bukan balasan syurga. Kakak rasa seperti diazab di neraka. Kakak ni seumur hidup tak pernah pakai tudung. Sebagai balasan, rambut kakak ditarik dengan bara api. Sakitnya tak boleh nak kakak ceritakan macam mana pedihnya. Menjerit-jerit kakak minta ampun minta maaf kepada Allah."

"Bukan itu saja, buah dada kakak pula diikat dan disepit dengan penyepit yang dibuat daripada bara api, kemudian ditarik ke sana-sini, putus, jatuh ke dalam api neraka. Buah dada kakak rentung terbakar, panasnya bukan main. Kakak menjerit, menangis kesakitan. Kakak masukkan tangan ke dalam api itu dan kakak ambil buah dada tu balik", tanpa mempedulikan pesakit lain dan jururawat memerhatikannya wanita itu terus bercerita.Menurutnya lagi, setiap hari dia diseksa, tanpa henti, 24 jam sehari. Dia tidak diberi peluang langsung untuk berehat atau dilepaskan daripada hukuman sepanjang masa koma itu dilaluinya dengan azab yang amat pedih. Dengan suara tersekat-sekat, dengan air mata yang makin banyak bercucuran, wanita itu meneruskan ceritanya ;

"Hari-hari kakak diseksa. Bila rambut kakak ditarik dengan bara api, sakitnya terasa seperti nak tercabut kulit kepala. Panasnya pula menyebabkan otak kakak terasa seperti menggelegak. Azab itu cukup pedih, pedih yang amat sangat, tak boleh nak diceritakan."

Sambil bercerita, wanita itu terus meraung, menangis teresak-esak. Nyata dia betul-betul menyesal dengan kesilapannya dahulu. Saya pula terpegun, kaget dan menggigil mendengar ceritanya. Begitu sekali balasan Allah kepada umatnya yang ingkar.
"Mazlan...kakak ni nama saja Islam, tapi kakak minum arak, kakak main judi dan segala macam dosa besar. Kerana kakak suka makan dan minum apa yang diharamkan Allah, semasa tidak sedarkan diri itu kakak telah diberi makan buah-buahan yang berduri tajam. Tak ada isi pada buah itu melainkan duri-duri saja. Tapi kakak perlu makan buah-buah itu sebab kakak betul-betul lapar."

"Bila ditelan saja buah-buah itu, duri-durinya menikam kerongkong kakak dan bila sampai ke perut, ia menikam pula perut kakak. Sedangkan jari yang tercucuk jarum pun terasa sakitnya, inikan pula duri-duri besar menyucuk kerongkong dan perut kita. Habis saja buah-buah itu kakak makan, kakak diberi pula makan bara-bara api. Bila kakak masukkan saja bara api itu ke dalam mulut, seluruh badan kakak rasa seperti terbakar hangus. Panasnya cuma Allah saja yang tahu. Api yang ada di dunia ini tidak akan sama dengan kepanasannya.Selepas habis bara api, kakak minta minuman, tapi kakak dihidangkan pula dengan minuman yang dibuat daripada nanah. Baunya cukup busuk. Tapi kakak terpaksa minum sebab kakak sangat dahaga. Semua terpaksa kakak lalui, azabnya tak pernah rasa, tak pernah kakak alami sepanjang kakak hidup di dunia ini."

Saya terus mendengar cerita wanita itu dengan tekun. Terasa sungguh kebesaran Allah.

"Masa diazab itu, kakak merayu mohon kepada Allah supaya berilah kakak nyawa sekali lagi, berilah kakak peluang untuk hidup sekali lagi. Tak berhenti-henti kakak memohon. Kakak kata kakak akan buktikan bahawa kakak tak akan ulangi lagi kesilapan dahulu. Kakak berjanji tak akan ingkar perintah Allah, akan jadi umat yg soleh. Kakak berjanji kalau kakak dihidupkan semula, kakak akan tampung segala kekurangan dan kesilapan kakak dahulu, kakak akan mengaji, akan sembahyang, akan puasa yang selama ini kakak tinggalkan."

Saya termenung mendengar cerita wanita itu. Benarlah, Allah itu Maha Agung dan Maha Berkuasa. Kita manusia ini tak akan terlepas daripada balasannya. Kalau baik amalan kita maka baiklah balasan yang akan kita terima, kalau buruk amalan kita, maka azablah kita di akhirat kelak. Alhamdulillah, wanita itu telah menyaksikan sendiri kebenaran Allah.

"Ini bukan mimpi Mazlan. Kalau mimpi azabnya takkan sampai pedih macam tu sekali. Kakak bertaubat Mazlan, kakak tak akan ulangi lagi kesilapan kakak dahulu. Kakak bertaubat, kakak taubat nasuha," katanya sambil menangis-nangis.

Sejak itu wanita berkenaan benar-benar berubah. Bila saya membawanya ke Mekah, dia menjadi jemaah yang paling warak. Amal ibadahnya tak henti-henti. Contohnya, kalau wanita itu pergi ke masjid pada waktu maghrib, dia cuma akan balik ke biliknya semula selepas sembahyang subuh.

"Kakak, yang kakak sembahyang teruk-teruk ni kenapa? Kakak kena jaga juga kesihatan diri kakak. Lepas sembahyang Isyak tu kakak baliklah, makan nasi ke, berehat ke." tegur saya.
"Tak apalah Mazlan. Kakak ada bawa buah kurma. Bolehlah kakak makan semasa kakak lapar."

Menurut wanita itu, sepanjang berada di dalam Masjidil Haram, dia mengqada'kan semula sembahyang yang ditinggalkannya dahulu. Selain itu dia berdoa, mohon kepada Allah supaya mengampunkan dosanya. Saya kasihan melihatkan keadaan wanita itu, takut kerana ibadah dan tekanan perasaan yang keterlaluan dia akan jatuh sakit pula. Jadi saya menasihatkan supaya tidak beribadat keterlaluan hingga mengabaikan kesihatannya.

"Tak boleh Mazlan. Kakak takut, kakak dah merasai pedihnya azab Tuhan. Mazlan tak rasa, Mazlan tak tau. Kalau Mazlan dah merasai azab itu, Mazlan juga akan jadi macam kakak. Kakak betul-betul bertaubat."Wanita itu juga berpesan kepada saya, katanya ;

"Mazlan, kalau ada perempuan Islam yang tak pakai tudung, Mazlan ingatkanlah pada mereka, pakailah tudung. Cukuplah kakak seorang saja yang merasai seksaan itu, kakak tak mau wanita lain pula jadi macam kakak. Semasa diazab, kakak tengok undang-undang yang Allah beri ialah setiap sehelai rambut wanita Islam yang sengaja diperlihatkan kepada orang lelaki yang bukan muhrimnya, maka dia diberikan satu dosa. Kalau 10 orang lelaki bukan muhrim tengok sehelai rambut kakak ini, bermakna kakak mendapat 10 dosa."

terimalah taubatku..ya ALLAH
"Tapi Mazlan, rambut kakak ini banyak jumlahnya, beribu-ribu. Kalau seorang tengok rambut kakak, ini bermakna beribu-ribu dosa yang kakak dapat. Kalau 10 orang tengok, macam mana? Kalau 100 orang tengok? Itu sehari, kalau hari-hari kita tak pakai tudung macam kakak ni? Allah..."

"Kakak berazam, balik saja dari haji ini, kakak akan minta tolong dari ustaz supaya ajar suami akak sembahyang, puasa, mengaji, buat ibadat. Kakak nak ajak suami pergi haji. Seperti mana kakak, suami kakak tu Islam pada nama saja. Tapi itu semua kesilapan kakak. Kakak sudah bawa dia masuk Islam, tapi kakak tak bimbing dia. Bukan itu saja, kakak pula yang jadi seperti orang bukan Islam."

Sejak balik dari haji itu, saya tak dengar lagi apa-apa cerita tentang wanita tersebut. Walaubagaimanapun, saya percaya dia sudah menjadi wanita yang benar-benar solehah. 

Adakah dia berbohong kepada saya tentang ceritanya diazab semasa koma?
Tidak.
Saya percaya dia bercakap benar.
Jika dia berbohong, kenapa dia berubah dan bertaubat nasuha?

Satu lagi, cubalah bandingkan azab yang diterimanya itu dengan azab yang digambarkan oleh Allah dan Nabi dalam Al-Quran dan hadis.Adakah ia bercanggah?

Benar, apa yang berlaku itu memang kita tidak dapat membuktikannya secara saintifik, tapi bukankah soal dosa dan pahala, syurga dan neraka itu perkara ghaib? Janganlah bila kita sudah meninggal dunia, bila kita sudah diazab barulah kita mahu percaya bahawa..."Oh... memang betul apa yang Allah dan Rasul katakan. Aku menyesal..."Itu dah terlambat.

wallahu'alam. 


Sunday, November 7, 2010

Beritahu Pada Muslimah Itu

Assalamualaikum sahabat-sahabat Pena PGPI. Moga kalian sentiasa berada dalam rahmatNya. Pena PGPI pada kali ini mahu berkongsi sebuah sajak berkenaan muslimah. Mari sama-sama kita baca dan hayati bait-bait sajak ini. Sesungguhnya, harga diri seorang muslimah itu terlalu mahal andai dijaga maruah dan akhlak sebaiknya. Segala ketaatan hanya pada Tuhan Pencipta sekalian alam, ALLAH S.WT. Jom baca!


Beritahu Pada Muslimah Itu

Beritahu pada muslimah itu dirinya ibarat kaca;
disentuh terguris,
dihantuk serpih,
dihempap berkecai.

Beritahu pada muslimah itu jaga tutur kata;
cakap tinggi nanti dibenci,
terlalu rendah dipijak pula,
cakap sombong mengundang lawan,
hati-hati meluah kata,
kerana pulut santan binasa,
kerana mulut badan binasa.

Beritahu pada muslimah itu jaga tingkah laku;
harga diri letaknya di situ,
jangan meluru ikut telunjuk nafsu,
sesekali tersilap langkah,
akan dihukum selamanya,
keturunan dicerca payah,
menyesal kemudian bukan faedah.

Beritahu pada muslimah itu jaga pakaian;
ia cermin peribadi,
juga lambang bangsa,
di mana dan dalam keadaan macam manapun,
biar orang kenal...
Dia orang ISLAM.

Beritahu pada muslimah itu simpan secebis malu;
kerana malu itu,
sebahagian daripada iman...