Showing posts with label Akhlaq. Show all posts
Showing posts with label Akhlaq. Show all posts

Sunday, February 5, 2012

ya RasullaLlah..ya HabibaLlah

Bismillahirrahmanirrahim.

[ Allahumma solli 'ala Muhammad ]

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kutatap wajahmu
Kan pasti mengalir air mataku
Kerna pancaran ketenanganmu

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kukucup tanganmu
Moga mengalir keberkatan dalam diriku
Untuk mengikut jejak langkahmu

Ya Rasulullah Ya Habiballah
Tak pernah kutatap wajahmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Kami rindu padamu
Allahumma Solli Ala Muhammad
Ya Rabbi Solli Alaihi Wasallim

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kudakap dirimu
Tiada kata yang dapat aku ucapkan
Hanya tuhan saja yang tahu

Kutahu cintamu kepada umat
Umati kutahu bimbangnya kau tentang kami
Syafaatkan kami
Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat kutatap wajahmu

Kan pasti mengalir air mataku
Kerna pancaran ketenanganmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Terimalah kami sebagai umatmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Kurniakanlah syafaatmu



Cinta kepada Rasulullah SAW membawa manusia ke syurga. Mencintai Baginda SAW perlu mengatasi dan mendahului segala sesuatu kerana ini adalah perintah dan syarat bagi mendapatkan cinta Allah SWT. Alangkah bertuahnya umat ini kerana dikurniakan seorang Rasul yang memiliki cinta agung yang tulus dan sejati terhadap umatnya. Baginda SAW mengungkapkan cintanya dengan ungkapan-ungkapan cinta yang paling murni dan sejati, termasuklah cinta seorang ayah kepada anaknya, sabda Baginda, “Sesungguhnya diriku bagi kalian bagaikan seorang ayah bagi anaknya.” (HR al-Darimi).
Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin”. (Al- Taubah: 128)
Tepuk dada tanyalah iman sejauh mana dan sedalam mana kecintaan kita terhadap Rasulullah SAW. Pastilah sebelum kita menemukan jawapannya, Baginda Nabi terlebih dahulu menzahirkan kasih dan sayang Baginda terhadap kita orang-orang mukmin. Seorang Nabi yang sanggup berkongsi, sanggup merasai penderitaan dan yang sangat menginginkan keselamatan pada diri ummat Baginda. Maka sewajarnyalah untuk kita membalas seikhlas-ikhlasnya cinta terhadap Kekasih Allah ini sama bahkan kalau boleh lebih lagi daripada kasih dan cintanya sahabat-sahabat Baginda dahulu.
Banyak kisah-kisah cinta sahabat terhadap Muhammad Rasulullah yang telah terakam dalam sejarah ummat, antaranya seorang Arab Badwi telah datang menemui Rasulullah seraya bertanyakan perihal Hari Kiamat. Rasulullah bertanya, “Apa yang sudah engkau persiapkan bagi hari itu?” Arab Badwi itu menjawab, “Ya Rasulullah, aku tidak memiliki apa-apa, tetapi aku mencintai Allah dan RasulNya”. Mendengar jawapan itu, Rasulullah berkata, “Engkau bersama orang yang engkau cintai.” (HR al-Bukhari)
Salah seorang sahabat bernama Thauban sangat mendalam cintanya kepada Rasulullah SAW, sehingga dia tidak sanggup berpisah lama dengan baginda. Pada suatu hari dia muncul di hadapan Rasulullah dalam keadaan yang sangat mencemaskan. Wajahnya pucat, tubuhnya makin mengurus dan kesedihan nampak jelas pada seluruh raut wajahnya. Rasulullah bertanya kepadanya, “Apakah gerangan yang membuatmu kelihatan begitu sengsara, wahai Thauban?”
“Aku sihat, tidak ada satu penyakit jasmani yang aku keluhkan. Namun, apabila aku tidak menyaksikan wajahmu beberapa saat, nescaya aku dirudung kerinduan dan langsung merasa kesepian. Aku merana luar biasa, sebelum berjumpa denganmu. Aku sangat mencintaimu. Cinta yang lebih besar dan lebih luhur daripada cintaku kepada anak, isteri dan diriku sendiri, sehingga aku tidak akan mampu berpisah lama darimu. Ketika aku sedang bersama dengan anggota keluargaku, bayanganmu masih saja di pelupuk mataku. Ingatanku kepadamu terlalu merasuk di hati, tidak terkendali olehku, sampai aku kembali menyaksikan kesejukan wajahmu. Terlintas keyakinan di benakku, jika perjumpaan tertunda lebih lama lagi, nescaya nyawaku akan segera tercabut bersama memuncaknya kerinduanku”.
Thauban tidak mampu melanjutkan pembicaraan yang kelihatannya belum selesai. Air matanya tidak tertahan lagi, jatuh berderai-derai bersama esak tangisnya yang mula menggema. “Kenapa pula kamu menangis sekarang, bukankah kita sudah bersama lagi?” tanya Rasulullah SAW memujuknya.
“Terbayang olehku perihal kematianku dan kematianmu. Rasa rindu dan merana di dunia ini sudah tentu dapat ku atasi dengan datang menemuimu. Aku sangat khuatir penyesalan yang sama terhadap musibahku ini tidak akan terjadi di kehidupan akhirat. Aku sedari kedudukanmu di syurga nanti akan ditinggikan Allah SWT sedemikian rupa, sehingga tidak ada yang dapat menemanimu kecuali para nabi sahaja. Keinginanku bagi dapat bersamamu di akhirat nanti, sudah membuat hidupku amat sengsara sekarang ini.”
Di ketika yang lain, sunnah merakamkan dialog penuh makna antara Rasulullah SAW dan Saidina Umar al-Khattab r.a. Saidina Umar diriwayatkan berkata, "Wahai Rasulullah, Engkau lebih aku cintai daripada mana-mana manusia yang ada di dunia ini melainkan jiwaku yang berada di dalam jasadku".

Kata-kata Umar RA ini disambut oleh Rasulullah SAW dengan tegas, “Tiada sesiapapun yang benar-benar menjadi Mukmin sejati sehinggalah aku lebih dicintainya walaupun daripada dirinya sendiri.”

Mendengarkan sabda yang mulia ini, Umar r.a lantas berkata: “Demi Tuhan yang menurunkan Kitab kepadamu, sekarang ini engkau lebih aku cintai daripada diriku yang berada di dalam jasadku”. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Sekarang (barulah kamu mempunyai iman yang sempurna) wahai Umar!” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Selain hadis-hadis yang mengikat iman dengan kecintaan terhadap Nabi SAW, kita juga menemukan hadis-hadis yang menjadikan cintakan Nabi SAW sebagai pra-syarat bagi mendapatkan matlamat-matlamat sehebat kemanisan iman dan seagung dapat bersama dengan Nabi SAW dalam syurga Allah SWT.

Rasulullah SAW diriwayatkan bersabda, “Sesiapa yang terdapat di dalam dirinya tiga perkara ini, akan merasai kemanisan iman; Allah dan RasulNya lebih dikasihi daripada selain keduanya, dia mengasihi seseorang yang tidak dikasihinya melainkan kerana Allah dan dia berasa benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia berasa benci sekiranya dicampakkan ke dalam neraka. (HR Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Nasa’i di dalam Bab Iman)

Begitulah. Cinta laksana air mengalir yang memindahkan seluruh sifat dan karakter kekasih kepada yang mencintainya. Bukti nyata kita mencintai Rasulullah SAW adalah mencontohi akhlak Baginda dan setia mengikuti sunnah Baginda.

Rasulullah SAW bersabda, “Orang yang paling aku cintai dan paling dekat kepadaku di antara kalian di akhirat kelak adalah orang yang paling baik akhlaknya.”(HR Ahmad)

Firman Allah; “Katakan, (wahai Muhammad), ‘Jika kamu (benar benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa dosamu’. Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang” (Ali-Imran :31)

Maka bohonglah orang yang mengaku mencintai Allah tetapi dia tidak mencintai RasulNya, bohonglah orang yang mengaku mencintai RasulNya tetapi dia tidak mencintai kaum fakir dan miskin. Dan bohonglah orang yang mengaku mencintai syurga tetapi dia tidak mahu mentaati Allah SWT. Demikian ditegaskan Imam Al Ghazali dalam Ihya’ Ulum al Din.

Jiwa kita akan bersama dengan orang yang kita cintai. Rasulullah SAW menganjurkan kita untuk mencintai Baginda dan Ahlil Bait. Ini kerana bila kita mencintai Baginda dengan tulus maka perilaku kita akan sesuai dengan perilaku Rasulullah dan ahi keluarga Baginda. Kita akan berakhlak seperti apa yang dikehendaki Rasulullah SAW. Seluruh kejadian dan peristiwa yang menimpa Rasulullah dan keluarga Baginda akan mempengaruhi emosi dan perasaan kita.

Jika ALLAH telah mengikatmu dengan Nabi yang penuh Rahmat dalam kehidupanmu maka engkau akan mendapatkan kebahagian dan ketenangan. Di antara tanda bahwa engkau telah terikat dengan Nabi Muhammad SAW adalah ketika engkau akan masuk ke dalam rumahmu maka engkau akan teringat apa yang diucapkan Rasulullah SAW ketika memasuki rumah, dan ketika engkau memasuki pasar maka kau teringat tuntunan Nabi Muhammad SAW tentang apa yang diucapkan beliau saat memasuki pasar, ketika engkau sedang menghadapi makanan dan engkau teringat akan tuntunan Rasulullah SAW apa yang diucapkan ketika akan makan, maka sungguh engkau telah terikat dengan Nabi yang penuh Rahmah.
Allah tidak membiarkan keresahan itu berlarutan di hati para pencinta sejati. Allah segera mengakhirinya dengan kedamaian yang menyejukkan. Syurga itu dapat diraih dengan cinta yang tulus kepada Rasulullah SAW. Sekali lagi, marilah kita gegarkan jiwa kita dengan kecintaan terhadap Junjungan Mulia Muhammad Rasulullah SAW melalui sabda Baginda, “Siapa yang mencintaiku, kelak dia akan berada di syurga bersamaku”.
sumber : Ainulyaqin

wallahu'alam.

Thursday, October 13, 2011

Menjadi Orang Yang Sibuk

S.I.B.U.K!!!!!!!! ( google image)
Kata orang, jika sesuatu kerja hendak disiapkan, berikan kerja itu kepada orang yang sibuk. Eh, betulkah? Memang benar. Justeru orang yang sibuk sahaja akan menguruskan masa mereka dengan baik. Orang sibuk sahaja dapat memberi keutamaan kepada kerja-kerja yang banyak – mana yang utama, mana yang penting.
Tetapi sebelum itu, yang paling penting tanyakan diri terlebih dahulu, sibuk itu untuk apa? 
Sibuk atau buat-buat sibuk. Sibuk atau menyibuk? 
Sebagai muslim, sibuk kita mesti disebabkan kerana ibadah. Tidak kiralah ibadah asas, ibadah umum atau ibadah sunat. Atur sahaja kehidupan mengikut prinsip-prinsip ibadah, nescaya kesebokan kita berbaloi. Sebok kerana Allah.
Untuk mengatur prioriti pelajari atau telaah sedikit apa yang dikatakan oleh Dr. Yusuf Al Qardhawi dalam fiqh aulawiyat. Insya-Allah, banyak panduan di sana. Ah, malu kita dengan para sahaba, masa yang diberikan kepada mereka dan kita sama sahaja, tetapi mereka bertebaran ke seluruh muka bumi menyebarkan Islam. 3/4 daripada mereka meninggal dunia di luar jaziratul Arab. Sampai ke Cyprus, India, China dan Asia. Tanpa kapal terbang, tanpa kemudahan IT dan alat-alat canggih seperti yang dimiliki kita hari ini. Sibuk, ya mereka sibu sekali.
Kita? Wah, berapa banyak masa di hadapan TV? Berapa banyak masa membaca Al-Quran berbanding membaca Koran (akhbar). Kalau nak dikatakan sibuk, memang sibuk. Ada diantara kita yang sambil memandu atau menunggang motosikal masih sempat ber'SMS'. Menguyah makanan sambil berbual di telifon bimbit. Yang berkerja sambil tidak sempat menziarah ibu-bapa di kampung. Mahasiswa/i atau pelajar di IPT dan IPTA  'terlupa' menalifon ibu-bapa. Sibuk sANGAT
Manusia menjadi hamba apa yang dicintainya. Apa yang kita cintai? Itulah yang akan menyibukkan kita. Ingat, musuh perkara yang 'lebih penting' ialah perkara yang penting. Para sahabat sudah merasa berdosa jika mereka tersilap dalam memilih keutamaan dalam melakukan kebaikan – "khilaful Aula".
Apa yang aku cintai? 
Kekadang mereka merasakan begitu sukar memilih antara bersedekah dengan solat sunat, berdakwah dengan berniaga, berjihad dengan menuntut ilmu, antara yang baik itu, mana yang lebih baik mengikut masa, situasi dan kondisi. Mereka cintakan Allah, mereka disibukkan kerana Allah.
Dengar apa yang dirintihkan oleh Sayidina Umar Al Khattab, "aku tidak tidur di malam hari, bimbang urusan ku dengan Allah tidak selesai. Aku juga tidak tidur di siang hari takut urusanku dengan manusia tidak selesai." Ertinya apa? Ya, Umar adalah individu yang paling "sibuk"sewaktu memimpin urusan umat Islam.
Ditengah-tengah kekalutan dan keserabutan kita, kononnya terlalu sibuk, "pause" sebentar. Renungi dalam-dalam, panjang-panjang, apa yang sebenarnya kita sebokkan? Bimbang, kesebokkan kita ada satu "deraan" yang kita cipta sendiri akibat membelakangkan kecintaan Allah.
Stress, "tension", boring, adalah toksid baru untuk jiwa manusia moden yang meremehkan kekuasaan Allah. Cari semula pangkal jalan dan tujuan hidup. Tanyakan semula apa yang aku cari dengan hidup yang singkat ini. Ingat kata Imam Safie, "peredaran masa adalah suatu yang aneh, tetapi lebih aneh manusia yang melengahkannya."
Syaitan, musuh yang tidak pernah tidur. Malaikat, pencatat setia setiap masa. Siapa temanmu dalam kesebokan waktu? Suara siapa yang sering berbisik di hatimu? Ilham dari para malaikat atau waswas yang datang daripada syaitan. Kasih-sayang Allah sesungguhnya masih sudi singgah di hati yang berdosa.
Kekadang "jemputan ke daerah kebaikan" singgah secara tiba-tiba. Kutiplah titipan kasih daripada Allah apabila suara hatimu tiba-tiba berbisik, "sampai bila aku harus begini..." Kata hukama, "apabila seseorang didatangi rasa hati yang begitu, ertinya dia telah menerima jemputan Tuhan untuk datang ke daerah kebaikan!"
Jangan berlengah lagi wahai diri, perhatikan kesibukan mu.  Untuk siapa, apa, kenapa dan ke mana? Jika ternyata, sudah tersasa, menghindarkan kesibukan kita di akhirat. Kesibukan di akhirat itu Neraka! Syurga itulah tempat rehat kita. Allahumma zukna. Amin
oleh:
Ustaz Pahrol Mohd Juoi
NOTA: Didik dan atur keSIBUKan diri bermula dari sekarang agar tidaklah terhuyung-hayang keHIDUPan UKHRAWI yang HAKIKI akibat urusan DUNIAWI yang FANA.. wallahu'alam.

Thursday, April 28, 2011

Bersederhana:Tanda Bersyukur Atas Nikmat ALLAH

Bismillahirrahmanirrahim..



DALAM menjalani bahtera kehidupan, Islam memberi garis panduan yang cukup sempurna bagi manusia mencapai puncak kesejahteraan. Hidup menurut ukuran Islam ialah menikmati kesejahteraan di dunia dan di akhirat nanti. Demi merealisasikan harapan yang murni itu, setiap orang Islam haruslah mengamalkan sifat kesederhanaan dalam segenap segi kehidupannya. Sifat ini dipraktikkan Nabi Muhammad dan juga sahabat Baginda, sehingga mereka muncul di permukaan sebagai insan yang sewajarnya diteladani, yang cemerlang dan dirahmati Allah.

Kalau kita menyusuri perjalanan hidup Rasulullah, sejak kecil sehinggalah saat wafatnya, ternyata Baginda tidak pernah mengecapi hidup mewah. Dalam segenap sudut kehidupan Baginda, sama ada cara berpakaian, perhiasan, dalam soal makanan dan sebagainya, berada di paksi kesederhanaan. Padahal Baginda memang mampu untuk hidup bermewah. Namun keimanan yang jitu di dada Baginda justeru mengalahkan segala-galanya. Sesungguhnya sifat ini adalah pakaian peribadi orang yang beriman sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud:

“Tidakkah kalian mendengar? Tidakkah kalian mendengar? Sesungguhnya kesederhanaan itu sebahagian daripada iman!” (HR Abu Daud)
Suasana sekarang, kenaikan harga barang keperluan harian yang sepertinya tidak terbendung mampu meletakkan masyarakat dalam kerisauan. Apa lagi bagi golongan berpendapatan rendah. Namun kemelut ini boleh dihadapi dengan lapang dada sekiranya ada kesedaran orang Islam mengambil kebijaksanaan bagaimana mengurus kewangan agar supaya dapat menepati konsep kesederhanaan. Iaitu berjimat cermat, dan hanya membeli barang yang diperlukan saja (tidak mengikut kehendak hawa nafsu yang merosakkan), serta yang paling utama ialah tindakan yang diambil menepati jalan Allah. Dengan itu, ia dapat mengelak kemurkaan Allah dan sebaliknya memperoleh tambahan nikmat-Nya yang menjanjikan kesejahteraan sejati. Perhatian saja firman Allah berikut yang mafhumnya:

“Sesungguhnya jika mereka lurus di atas perjalanan (Islam), Nescaya Kami curahkan kepada mereka air yang lebat. Untuk Kami menguji mereka padanya. Barang siapa berpaling diri dari peringatan Tuhannya (Al-Quran) nescaya Kami masukkan dia ke dalam seksaan yang berat.”  (Surah al-Jin: 16-17)
‘Curahan air yang lebat’ itu bermaksud rezeki yang banyak, yang melengkapi segala keperluan hidup manusia.

Islam dengan tegas menegah seseorang membeli barang melebihi keperluan hidup atau berbelanja mengatasi jarum penunjuk pendapatan, lantaran akibatnya akan menimbulkan pembaziran yang dibenci Allah. Jika berbelanja melampaui batas untuk tujuan bermegah-megah, sehingga berlaku pembaziran hanya saja akan menggambarkan tingkah laku orang yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat Allah. Sesungguhnya membazir itu adalah amalan syaitan sebagaimana keterangan daripada ayat yang bermaksud:

“Dan jangan membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”  (al-Israk: 26 – 27)
Orang boros sebenarnya tidak tahu untuk merancang, tidak ada wawasan, tidak gerun dengan masa depannya yang bakal hadir nanti terbiar begitu saja. Akhirnya ditimpa penyakit miskin dan muflis, sebagai modal untuk menjadi orang yang suka berhutang, meminta-minta dan pada pandangan masyarakat pula jelas menjadi hina dan tidak dihormati. Ekoran itu, akan jadi orang yang dibelenggu seribu masalah dan jiwa pun tidak mungkin disentuh ketenangan lagi.

Meskipun digalakkan supaya berhemah, namun janganlah pula sampai ke tahap sifat kikir atau kedekut. Sebagaimana termaktub dalam ayat yang bermaksud:

“Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu…” (al-Israk:29)
Ayat di atas membawa maksud janganlah menahan tangan daripada berbelanja serta memberi nafkah untuk tujuan kebaikan yang mana diumpamakan tangan yang tidak dapat bergerak kerana terbelenggu di leher. Ini adalah kiasan kepada sifat bakhil (Buku Ayat-ayat Hukum: Abdul Latif Muda)

Kita perlu ingat dengan larangan Rasulullah terhadap orang kedekut ini sebagaimana maksud hadis:

“… dan takutlah kamu dari sifat kikir, kerana sesungguhnya sifat kikir itu telah membinasakan umat sebelum kalian, yang mendorong mereka melakukan pertumpahan darah dan menghalalkan semua yang diharamkan Allah.” (HR Muslim)
Gambaran hadis di atas begitu jelas sekali, kerana kikir menyebabkan timbulnya golongan miskin disisihkan oleh golongan yang berada. Terbinalah jurang antara kedua golongan tadi (yang tidak seharusnya wujud dalam sebuah masyarakat). Perasaan dengki, marah, tak puas hati di kalangan orang tidak bernasib baik terhadap orang yang berharta boleh mencetuskan api perbalahan.

Di samping itu, orang yang berharta menjadi semakin sombong dan tamak. Sepanjang masa terisi dengan aktiviti menimbun harta. Cinta kepada harta bertambah menebal dari sehari ke sehari. Lalu tidak mustahil, mereka ini menjadi orang yang enggan mengeluarkan zakat. Namun sesungguhnya orang yang beriman tidak pernah pengidap penyakit kedekut sebagaimana sabda Rasulullah,

“Tidak boleh berkumpul antara iman dan kikir di dalam hati orang yang beriman selama-lamanya” [HR Ibn Adiy]
Menyedari betapa buruknya akibat boros dan kedekut, maka orang Islam hendaklah berada di tengah-tengahnya iaitu bersederhana sebagaimana disuruh oleh syarak, Allah berfirman:

“Dan mereka yang apabila membelanjakan harta mereka tidak melampaui batas (tidak boros) dan tidak pula bakhil, tetapi (sebaliknya perbelanjaan mereka dalam keadaan betul dan sederhana antara kedua-dua cara (boros dan kedekut)” [Surah al-Furqan: 67]
Buat kita sebagai guru pelatih yang mendapat elaun seharusnya lagi perlu berjimat cermat dan bijak dalam menguruskan wang yang diberi. Gunakanlah ia dengan sebaiknya dalam membentuk diri untuk menjadi pendidik Muslim yang terbilang. InsyaALLAH.

SUMBER: HALAQAH.NET

Friday, November 26, 2010

Sabar

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum. Apa khabar teman-teman Pena PGPI sekalian? Sihat? Diharapkan moga kalian sentiasa sihat rohani dan jasmani. Nampaknya sudah beberapa minggu kita semua bercutikan? Jadi apa yang telah teman-teman lakukan sepanjang masa ini? Tengok televisyen? 'Facebooking'? Bekerja? Berjalan-jalan bersama keluarga? PenaPGPI doakan agar setiap masa teman-teman diisi dengan perkara yang berfaedah yang mendatangkan kebaikan pada diri dan juga orang lain sebaiknya. Sepatutnya kita sebagai bakal pendidik harus menggunakan masa ini semaksimum mungkin menambahkan ilmu pengetahuan terutama melalui proses pembacaan. Penalaan ilmu ini tidak terbatas hanya pada subjek yang kita ambil di IPG saja, malah pelbagai aspek ilmu perlu kita ambil tahu dalam menjadi pendidik kelas pertama. insyaALLAH~
Bagi perkongsian ilmu kali ini, PenaPGPI mahu sekali berkongsi sebuah artikel yang diperolehi daripada iLuvIslam.com ini.Perihal SABAR. Pasti teman-teman sudah biasa dengar kan ayat dibawah:

"SABAR separuh daripada IMAN"

Jadi mari kita baca apa yang mahu disampaikan salah seorang penulis dalam iLuvIslam ini.

SABAR

Sabar; satu perasaan, tindakan yang tidak dapat didefinasikan. Ramai yang mudah berkata "sabar ye?" apabila orang lain ditimpa masalah, tapi apabila diri sendiri diuji dengan ujian yang amat dahsyat, masihkah lagi perkatan sabar dapat bertahan dalam diri? Ayuh! kita belajar bagaimana ingin membuah sabar.
Meminjam peribahasa "lain lubuk lain ikan" disamakan dengan "lain orang lain ujiannya". Setiap ujian yang ALLAH beri berbeza-beza tertakluk pada kemampuan hamba-Nya. Lupakah kita pada firmannya?
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo'a): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." - Surah Al-Baqarah, 286
Lihat! Allah itu Maha Penyayang lagi Maha Pengasih, Dia tidak akan timpakan kita dengan sesuatu yang kita tak mampu.Dia juga tidak akan jadikan suatu ujian itu sia-sia tanpa ada hikmah disebaliknya.
Ujian Rasulullah
[Sabarlah duhai hati~]
Kita singkap kembali sirah, baginda Nabi Muhammad s.a.w, ujian  yang menimpa baginda sangat hebat. Bermula semasa lahir, baginda sudah kehilangan ayahnya, kemudian ibunya, datuknya, disusuli bapa saudaranya, sehinggalah isterinya yang tercinta, Siti Khadijah.
Orang-orang yang baginda kasihi sudah mengadap Illahi.
Ini belum lagi termasuk ujian dalam menyebarkan Islam untuk sampai kepada kita pada hari ini, bermacam-macam ujiannya. Dibaling najis, gigi baginda patah dalam satu peperangan, dipulau dan bermacam-macam lagi tekanan  yang baginda hadapi.

 Tapi ujian itu tidak  pernah menghalang baginda supaya menjadi orang sabar.
Cuba kita renungkan kembali  di zaman baginda s.a.w dahulu  tiada handphone, tiada facebook, tiada yahoo messenger dan tiada kemudahan internet seperti yang kita ada pada hari ini, tapi lihatlah kerana kecekalan, kesabaran baginda dan para sahabat, Islam sampai kepada kita hari ini dan kita mengenal Allah dan merasa indahnya iman.
Mungkin ada sesetengah mengatakan bahawa  baginda dapat menghadapi ujian-ujian tersebut kerana baginda merupakan seorang Rasulullah. Mengapa pula begitu, baginda juga manusia biasa seperti kita, apa yang membezakan ialah baginda mempunyai keimanan yang benar-benar mantap. Begitu juga dengan ujian yang baginda hadapi sesuai dengan kemampuan baginda.
Ujian yang hebat untuk manusia yang hebat! Kita bagaimana?
Bicara tentang iman
Iman itu ialah ketaqwaan kepada Allah, penuh khauf dan raja'. Jadi apabila kita ditimpa ditimpa sesuatu musibah atau ujian pintalah kepada Allah agar dibesarkan iman untuk kita hadapinya bukan diminta dikecilkan masalah yang kita hadapi.
Kita boleh mengatasi segala ujian yang Allah berikan dengan tenang jika kita punyai pergantungan yang tinggi kepadaNYA. Oleh itu apa jua masalah yang ada, muhasabah kembali hubungan kita dengan Allah, renungkanlah kembali.
Adakah kita telah menjaga sebaik-baiknya hubungan kita dengan-Nya?
InsyaAllah jika kita jaga hubungan kita dengan Allah, Allah akan jaga hubungan kita dengan yag lain. Allah akan bantu kita dari segenap sudut yang kita tak sangka-sangka. Tapi kalau saya dah jaga hubungan dengan Allah sebaiknya macammana pula?
Jika begitu, kita perlu muhasabah kembali, mungkin  tanpa kita sedari ada hak-hak dengan Allah kita tak tunaikan, begitu juga dengan hubungan sesama manusia. 
Dan jika dah jaga semuanya, itulah dinamakan ujian sama ada kifarah dosa-dosa lepas atau peluang kita merebut pahala dan meningkatkan iman. Bukankah kita ini hanya manusia?
Jangan pernah lupa bahawa kita adalah hamba Allah s.w.t. Jadi, kita layak diuji kerana kita hanyalah hamba-Nya.

Jadilah hamba yang bersyukur.

Apa jua yang ada dalam hidup, syukurilah, belajarlah jadi orang yang sentiasa bersyukur. InsyaAllah  masalah-masalah yang kecil tidak akan timbul, dan kita akan miliki sifat sabar.
Rasulullah s.a.w, walaupun dijamin syurga tapi Baginda s.a.w, tetap  menunaikan solat  dan ibadah malam sampai kakinya bengkak-bengkak.
Dalam satu hadis, apabila ditanya Aisyah r.a, mengapa Baginda  beribadah malam sehingga kakinya bengkak sedangkan baginda sudah dijamin syurga, Baginda menjawab dengan tenang, "Aku ingin jadi hamba yang bersyukur".
SUMBER : ILUVISLAM
Lihat teman-teman.. Marilah kita sama-sama ajak diri kita untuk mencontohi peribadi baginda Nabi Muhammad S.A.W. yang merupakan seorang yang sabar dalam menempuh dugaan dan cabaran hebat sepanjang hidup baginda. Baginda juga seorang yang sentiasa bersyukur atas nikmat yang dikurniakan ALLAH S.W.T.  (ALLAHUMMASOLLI'ALAMUHAMMAD!)