Apa khabar?
Ada yang demam kah dalam menghadapi helaian kertas peperiksaan dunia? =)
Krew PenaPGPI mendoakan moga segalanya dipermudahkan ALLAH. Moga TENANG dalam menghadapinya.
Teman, sedarkah kita bahawa 1 Rejab telah pun membuka tirainya kembali pada tahun ini? Bila tibanya bulan Rejab, kita digalakkan untuk menzalimi sebuah doa seperti dibawah:
(aminnnn~)
Jom kita kenali bulan Rejab..
Bulan Rejab adalah salah satu bulan yang mulia dan banyak kelebihannya. Nabi Muhammad saw dalam satu hadis menyatakan bahawa Rejab itu bulan Allah. Sabda baginda yang bermaksud:
"Sesungguhnya Rejab adalah bulan Allah, Syaaban adalah bulanku dan Ramadan adalah bulan umatku".
Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah At-Taubah ayat 36:
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَات وَالأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلاَ تَظْلِمُواْ فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ وَقَاتِلُواْ الْمُشْرِكِينَ كَآفَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَآفَّةً وَاعْلَمُواْ أَنَّ اللّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ
Bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi hukum Allah ialah dua belas bulan, yang telah ditetapkan dalam kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama kamu yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu dengan melanggar larangannya.Dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa"
Istimewanya bulan ini, pada 27 Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra' dan Mikraj kepada Rasulullah s. a. w. Pada malam itu, baginda diangkat ke siddaratul muntaha (langit ketujuh) bertemu secara langsung dengan Allah.
Dengan izin Allah, baginda melihat keadaan syurga dan neraka dan bagaimana umatnya serta umat yang terdahulu menerima ganjaran kebajikan dan pembalasan dosa yang mereka lakukan di dunia. Ketika bertemu Allah, Rasulullah saw juga diperintah mengerjakan sembahyang lima waktu sehari semalam yang mulanya diwajibkan sebanyak 50 waktu. Inilah keriangan yang paling tinggi daripada Allah kepada Rasulullah dan umatnya hingga ke hari kiamat.
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ
Maksudnya: "Maha Suci Allah yang memperjalankan hambaNya (Nabi Muhammad) ada satu malam dari Masjid Haram ke Masjid Aqsa yang kami berkati sekelilingnya, untuk kami perlihatkan kepadanya tanda-tanda Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat".
(Surah al-Isra', ayat 1)
Imam Nawawi seorang tokoh perundangan dalam Islam, menyatakan dalam kitabnyaSyarah Muslim: Perkara sebenar yang telah disepakati sama ada oleh ulama fiqh (fuqaha), ulama ahli hadith (muhaddithin) dan ulama ilmu kalam atau ilmu tauhid (mutakallimin), begitu juga para sahabat (atsar) dan para ulama dahulu dan mutakhirin, bahawa Nabi Muhammad s. a. w. telah diisra' dan dimikrajkan oleh Allah s. w. t. dengan roh dan jasadnya sekali. Begitu juga Al Imam Ibnu Hajar mempunyai pendapat yang sama dalam perkara tersebut.
Menurut Imam Nawawi, tiada alasan untuk menolak hakikat Isra' Mikraj Nabi s. a. w, dengan roh dan jasadnya sekali, kerana peristiwa Isra' dan Mikraj agung itu bukan atas usaha ikhtiar Nabi s.a.w sendiri, sebaliknya Nabi s.a.w menghebahkan kepada orang ramai bahawa baginda telah diisra' dan dimikrajkan oleh Allah s. w. t. bersama malaikat Jibril. Kenderaan yang disediakan oleh Allah s. w. t. bernama buraq iaitu kenderaan yang dicipta dari cahaya. Buraq kenderaan khusus untuk suatu pengembaraan Nabi s.a.w dalam perisitiwa bersejarah diisra' dan dimikrajkan ke langit. Ini bermakna bahawa Isra' Mikraj adalah suatu peristiwa di luar kemampuan Nabi s.a.w untuk melakukannya, sebaliknya ia dikehendaki oleh Allah s. w. t. berlaku ke atas diri Nabi s.a.w dengan dibantu oleh malaikat Jibril a. s.
Allah SWT melalui firmanNya dalam ayat pertama surah Al Isra', menjelaskan tentang peristiwa Isra' memulakan dengan kalimah Subhana "Maha Suci Allah." Ertinya, Allah SWT itu Maha Suci dari segala sifat kekurangan dan kelemahan. Sekalipun peristiwa Isra' Mikraj itu perkara luar biasa(ajaib) di sisi akal manusia, tetapi bagi Allah s. w. t. Yang Maha Suci dari sifat kelemahan, maka Dia boleh melakukan apa jua perkara pelik menjadi perkara biasa dan tiada yang mustahil bagi-Nya.
Kalaulah peristiwa Isra' Mikraj itu sekadar Nabi s.a.w bermimpi pergi ke Baitul Muqaddis dan juga mimpi naik ke langit, maka kaum musyrikin Makkah tidak akan marah dan mempersenda Nabi s.a.w, kerana mimpi adalah perkara biasa bagi semua orang. Bukan Nabi Muhammad sahaja yang boleh bermimpi naik ke langit, bahkan orang yang bukan taraf nabi pun boleh bermimpi serupa itu juga.
Dalam peristiwa ini, baginda Rasulullah s. a. w. dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.
Antaranya : Satu kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah s. a. w. diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
Firman Allah:
ن مَّثَلُ الَّذِينَ يفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّئَةُ حَبَّةٍ وَاللّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاء وَاللّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: "Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan allah Maha luas kurniaanNya lagi meliputi ilmu pengetahuanNya".
Baginda juga melalui suatu tempat yang berbau harum. Rasulullah s. a. w. diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Firaun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Firaun sebagai Tuhan).
Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah, "Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang)."
Rasulullah juga diperlihatkan, sekumpulan manusia yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail, "Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka".
Baginda juga melihat satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail, "Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami".
Jadi, teman-teman PenaPGPI, mudah-mudahan perkara yang diperlihatkan oleh Allah kepada Baginda Muhammad s.a.w. dapat dijadikan pengajaran kepada kita semua untuk mendapat rahmat dan kesejahteraan di dunia dan akhirat. (sumber)
insyaALLAH..
1 comment:
salam...tp, menurut artikel yg sya bca...Syeikh Yusuf al-Qardhawi mengatakan hadis di atas dhaif.
Post a Comment