Analogi.
Bayangkan.
Renungkan.
Apabila kita pergi ke hospital untuk berjumpa dengan doktor, kita akan meletakkan sepenuh kepercayaan kita terhadap dia. Kita meyakini kredibilitinya sebagai seorang yang arif dan boleh merawat kita dengan sebaiknya.
"Awak kena makan ubat ini dua kali sehari, selepas makan"
"Baik, doktor"
"Awak perlu mengawal kandungan gula dalam makanan awak, sebaiknya banyakkan minum skyjus"
"Baik, doktor"
"Kan doktor dah cakap, kena mandi sebelum subuh"
"Kan doktor kata tak boleh makan pedas-pedas, nanti gastrik makin teruk"
Kerana kepercayaan yang sangat tinggi terhadap kredibiliti mereka, kita yakin dengan apa yang mereka perkatakan. Kita buat apa yang mereka suruh. Sangat patuh seperti patuhnya kerbau yang ditusuk hidung. Tanpa mempersoalkan, kenapa? Kenapa? kenapa?
"Kenapa kena makan dua kali sehari?"
"kenapa kena makan ubat selepas makan?"
"Kenapa kena ikut cakap doktor?"
"Kalau saya makan ubat ni konfem sihat ke?"
Tolak tepi kepada orang-orang yang pergi ke klinik hanya untuk mendapatkan surat MC. Situasi ini bagi mereka yang sangat percaya yang doktor tersebut boleh merawat mereka sehingga sembuh. Tanpa ada syak wasangka.Walaupun mereka tidak faham kenapa mereka perlu melakukan itu dan ini. Semuanya dilakukan tanpa banyak soal. Sebab apa? Sebab mereka yakin doktor tersebut tahu apa yang dia buat. Doktor tersebut tahu apa yang terbaik untuk merawat mereka.ABSOLUTE TRUST.
Bandingkan pula kepercayaan yang kita letakkan terhadap Dzat Yang Maha Mengetahui.Apabila kita ditimpa musibah atau mengalami sesuatu yang kita tidak ingini, ayat-ayat sebegini pasti kedengaran:
"Allah knows best"
"Semuanya ada hikmah"
"Sabar..."
....dan yang sewaktu dengannya....
Maka, sejauh mana kepercayaan kita terhadap Allah dizahirkan melalui tindak tanduk kita. Terutamanya apabila datang musibah atau ujian berupa kesusahan. Kita tahu yang Allah tidak akan menzalimi hamba-hambaNya, namun tahu itu tidak cukup kuat untuk membuatkan kita sabar dan redha dengan ketentuan Allah. Jauh di lubuk hati kita mempersoalkan takdir Allah. Kerana apa? Kerana dangkalnya ilmu kita terhadap sifat-sifat Allah yang Maha sempurna.
Namun, menghadapi sesuatu ujian itu tidak perlu dengan bergelak ketawa. Secara fitrahnya, kita akan berasa sedih. Manusia yang normal pasti akan berasa sedih jika kehilangan orang yang tersayang, kehilangan perkerjaan atau apa sahaja bentuk kesusahan yang mereka alami. Kesedihan pula tidak semestinya dengan meratap dan meraung. Kesedihan itu perlu disalurkan melalui cara yang betul, iaitu dengan mengadu kepada Allah. Mungkin itu hikmahnya. Jika tidak ditimpa musibah, mungkin kita masih lalai dan terus bergelumang dengan dosa.Pengaduan kepada Allah akan memberikan kita kekuatan untuk menyingkap seribu lagi hikmah di sebalik setiap ujian. InsyaAllah.
"setiap urusan orang mukmin itu adalah baik. Jika dia diberi nikmat, dia bersyukur. Jikan ditimpa musibah, dia bersabar."
Diri juga masih dangkal dalam mengenali sifat-sifat Allah yang Maha Sempurna. Sedarilah bahawa ilmu Allah itu amat luas. Tidak ada ilmu manusia itu melainkan sedikit. Maka, sering-seringlah berkunjung ke majlis ilmu. Untuk siapa? Untuk diri sendiri. Dunia dan akhirat. Ilmu membuka jalan untuk faham. Kefahaman menyemai kemampuan untuk beramal. InsyaAllah. Buku-buku islamik juga semakin banyak. Jeling-jelinglah. Youtube juga banyak video-video yang menyampaikan mesej islam.
Walaubagaimanapun, dalam zaman fitnah ini, kita perlu menyedari bahawa tidak semua sumber rujukan itu benar. Kita perlu bijak dalam menilai kebenaran sesuatu perkara. Pembacaan perlu diluaskan, pemikiran juga perlu lebih kritis. Ilmu yang sampai mungkin telah tercemar. Maka, itulah sebabnya kita perlu berguru. Setidaknya, kita mempunyai tempat rujukan yang boleh dipercayai.Ustaz, ustazah, rakan usrah atau naqibah.
Suatu hari pasti diuji.Hari ini kami menasihati, esok kami dinasihati. Kita insan lemah. Mudah lupa. Perlu kepada peringatan.
Ujian datang untuk membersihkan hati dan membentuk diri menjadi lebih baik.
p.s: Bukan sedalam mana ilmumu yang dinilai, tetapi segigih mana dirimu dalam mendalami ilmu Allah. InsyaAllah, Allah akan bantu mereka yang bersungguh-sungguh. Jangan pernah berhenti berharap.
wallahu'alam.
_13022013.0128_
sumber inspirasi:
Yasmin Mogahed; How Do I Know If Im Being Tested or Being Punished? _Youtube_
Bulatan Gembira_UZA_
No comments:
Post a Comment