Tuesday, May 8, 2012

Memahami Hadis Sanggul Tinggi Umpama Bonggol Unta Bagi Wanita

Soalan:
Ustaz, apakah hukum mengenakan sanggul yang tinggi? Saya terdengar ada seorang Ustazah yang tersohor mengatakan bahawa perbuatan itu tidaklah mendatangkan masalah, tetapi yang wajib adalah menutup aurat, jadi saya terkeliru. Harap penjelasan daripada Ustaz.

Jawapan:
Terima kasih di atas soalan yang telah diajukan. Perkara ini adalah sangat penting bagi kita selaku orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, beriman dengan kata-kata Nabi SAW. Bahagialah bagi mereka yang ikut suruhan Allah dan pesuruhnya, dan binasalah siapa yang berani melawan Allah dan pesuruhnya, walau siapa pun dia. Kerana kita percaya bahawa yang maksum itu adalah Nabi saw dan selain daripadanya itu boleh terdedah kepada kesilapan dan kekurangan. Jadi kita tidak lihat kepada siapa yang bercakap, tetapi kita lihat pada dalil dan ulasannya. Kita terima jika kata-katanya bertepatan dengan al-Quran dan as-Sunah dan kita tolak jika kata-katanya tidak selari daripadanya. Kita hanya boleh fanatik pada Allah dan Rasulnya.
Oleh itu, saya akan menjawab persoalan di atas seperti berikut:
1.   Sebenarnya, wanita adalah makhluk yang sangat dimuliakan oleh Allah Ta’ala, jika kita lihat sejarah manusia dahulu kala yang tidak beriman kepada Allah, mereka menganggap bahawa perempuan adalah hamba, hanya tempat untuk melepaskan nafsu serakah. Bukan itu sahaja, malah mereka boleh berkahwin tanpa ada had, jika ingin berkahwin 10 orang wanita, maka kahwinlah 10 orang, jika hendak berkahwin 20 orang, maka kahwinlah 20 orang. Begitulah hinanya wanita sebelum datangnya Islam. Demikian juga apabila kita lihat di dalam agama hindu, pihak perempuan yang terpaksa menyediakan hantaran mahar, sedangkan mereka dari golongan yang lemah, adakah adil seperti itu. Begitu juga di dalam agama Kristian, mereka mendakwa Nabi Sulaiman berkahwin dengan 1000 orang wanita tanpa ada had. Demikian juga umat Cina dahulu kala, perempuan-perempuan kebanyakannya adalah pelacur murahan.

Namun apabila Islam datang, ia membawa harapan baru terhadap golongan wanita, martabat mereka ditinggikan serta dihormati. Mereka ditanggung daripada lahir sehinggalah akhir hayatnya, malah mendapat juga habuan harta peninggalan, mahar kahwin, dan sebagainya. Lihat, betapa untungnya kaum wanita. Tetapi malangnya ramai yang tidak bersyukur. Tidak menghargai dan mengerti mengapa Allah meletakkan sesuatu hukum ke atasnya seperti menutup aurat dengan sempurna dan selainnya, sedangkan suruhan itu amatlah sedikit berbanding nikmat yang sangat banyak Allah kurniakan buat mereka. Mereka nampak seperti hukum itu sukar dan susah, tetapi sebenarnya semua suruhan itu membawa kebaikan kepada diri mereka.

2.   Allah SAW telah menyuruh  beberapa hal terhadap para wanita salah satunya ialah menutup aurat dengan sempurna seperti di dalam al-Quran. Perkara ini juga telah ditegaskan oleh Nabi SAW di dalam hadis yang sahih iaitu ancaman bagi mereka yang memakai pakaian ketat sehingga menampakkan bayangan tubuh, mendedahkan aurat, sanggul kepala mereka seperti bonggol unta dan sebagainya. Ini adalah amat penting untuk menjaga keselamatan mereka, di samping mentaati perintah Allah.
Antara Hadis Nabi SAW ada menyebut: “Dua golongan dari ahli neraka yang aku belum melihat kedua-duanya iaitu; (1) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu untuk memukul manusia dengannya, dan (2) Wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencederungkan orang lain kepadanya. Kepala-kepala mereka umpama bonggol-bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak akan dapat memasuki syurga dan tidak akan mencium baunya di mana bau syurga dapat dicium dari jarak perjalanan sekian-sekian jauh.” (Riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad)
Hadis ini telah disyarahkan oleh Imam an-Nawawi Rahimahullah di dalam kitab syarah Sahih Muslim, beliau menyebut: “Makna bonggol unta itu ialah wanita yang membesarkan kepala-kepala dengan tudung mereka, mereka meletakkan apa-apa sahaja bagi membesarkan kepala mereka, sehingga seolah-olah kelihatan kepala mereka bagaikan bonggol di atas unta. Tambahnya lagi, perkara ini adalah bukti mukjizat kenabian, perkara ini telah terbukti pada zaman ini.” (Syarah Sahih Muslim Oleh Imam an-Nawawi 17/191)
Begitu juga dapat disimpulkan makna hadis di atas dengan beberapa perkara iaitu:
  • Wanita-wanita yang memakai pakaian yang nipis yang masih menampakkan kulit atau bayangan tubuh mereka. Mereka berpakaian pada nama, namun telanjang pada hakikatnya.
  • Memakai pakaian yang menutup sebahagian aurat dan mendedahkan sebahagian lagi (iaitu tidak menutupnya secara menyeluruh kawasan aurat yang wajib ditutup).
  • Memakai pakaian yang ketat atau sendat hingga menampakkan bentuk tubuh.
Berdasarkan huraian hadis di atas amat jelas menunjukkan bahawa balasan neraka bagi sesiapa yang melakukan perbuatan di atas. Ulamak telah membahagikan dosa kecil dan dosa besar dengan memberi kaedah bahawa apa sahaja larangan dan akhirnya menyatakan murka dan balasan neraka, maka itu adalah daripada dosa-dosa besar.
Adakah patut Ustazah tersebut menyatakan sedemikian, sedangkan Ulamak besar telah menghuraikan hadis tersebut dan hadis itu adalah sahih untuk dijadikan sumber hukum.
 3.   Jika kita perhatikan juga, mereka yang memakai sanggul tinggi ini walaupun kelihatannya mereka memakai tudung, tetapi mereka sebenarnya memberi helah bagi membuktikan bahawa rambut mereka panjang dan hendak menarik pandangan lelaki. Bukanlah memakai atas dasar ikhlas ingin memenuhi suruhan Allah dan ibadah, tetapi disebabkan sebaliknya.
4.   Tetapi sekiranya rambutnya memang panjang lalu dia mengikat rambutnya sehingga kelihatan sanggul, maka dalam hal ini adalah dimaafkan oleh syara’. Diharamkan sekiranya meletakkan sesuatu selain daripada rambut sehingga kelihatan seperti sanggul buatan.
5.   Islam membenarkan fesyen, tetapi tidaklah sampai melampau dalam mengenakan fesyen sehingga melanggar suruhan Allah Ta’ala. Wallahu A’lam
sumber: FiqrahHalaqah.com
Nota Kaki:
Berhati2lah semasa membaca sesuatu ulasan yang pelik lagi memeningkan kepala. Kembalilah kita kepada al-Quran dan as-Sunah untuk memandu arah keHIDUPan kita disini agar sejahtera keHIDUPan kita di sana..insyaALLAH.


No comments: