Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah. Syukur ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan izinNya, sekali lagi PenaPGPI berkesempatan bertemu dengan teman-teman PenaPGPI di alam maya ini. Moga ukhuwah antara kita bukan hanya di sini namun dapat dibawa ke alam realiti yang tidak lain hanyalah kerana ALLAH SWT,Pencipta sekalian alam. Ingatlah teman-teman sekalian akan tujuan kita dihidupkan di dunia ini adalah tidak lain hanyalah untuk beribadah dan mengabdikan diri hanya kepada ALLAH SWT.
Firman ALLAH swt dalam surah Ad-Dzariyat, ayat 56:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْأِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُون
Maksudnya: Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu.
Pada entri kali ini, PenaPGPI ingin berkongsi pesanan Rasullullah saw di dalam khutbah Jumaat baginda yang terakhir. Sejauh mana kita semua memegang erat akan pesanan kekasih ALLAH ini? Mari sama-sama kita muhasabah diri.
Khutbah Jumaat Terakhir Nabi Muhammad saw
Khutbah ini disampaikan pada 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.
Wahai Manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap muslim sebagai amanah suci.
Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.
Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi.
Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu.
Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu.
Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan! , dan tunaikan zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadat haji sekiranya kamu mampu.
Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.
Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak akan ada lagi Nabi dan Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru.
Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu.
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al Quran dan Sunnahku.
Hendaknya orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain.
Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku.
Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU.
Khutbah ini disampaikan dalam haji wida' yang juga dikenali sebagai haji perpisahan.Ia dinamakan demikian ialah kerana Nabi s.a.w kembali ke rahmatullah setelah beberapa ketika baginda mengerjakan ibadat Haji tersebut. Peristiwa Haji Wida' bermula selepas Nabi s.a.w kembali dari peperangan Tabuk, baginda mengutuskan Abu Bakar As-Siddiq r.a sebagai seorang pemimpin untuk memimpin rombongan Haji manakala baginda pula menghabiskan masa selama beberapa tahun untuk menyambut kedatangan rombongan kafilah Arab yang tidak putus-putus mengunjungi baginda dari seluruh pelusuk semenanjung Tanah Arab untuk menyatakan baiah mereka dan pengislaman mereka.
Kemudian Nabi s.a.w mengutuskan beberapa orang para sahabat bersama dengan setiap rombongan untuk mengajar perkara agama kepada mereka. Apabila baginda merasakan bahawa Islam telah tersebar ke seluruh negara Arab malah menjangkau ke negara-negara persekitarannya, baginda terasa ingin mengerjakan ibadat Haji sambil mengajar cara-cara untuk mengerjakan ibadat Haji kepada umat Islam dalam bentuk praktikal, menyampaikan nasihat yang baik kepada mereka serta memberikan kupasan mengenai syariat Islam dan matlamatnya kepada mereka di dalam khutbah baginda.
Setelah itu baginda bertolak dari bandar Madinah pada tahun kesepuluh Hijrah kemudian berniat Ihram Haji dan Umrah di Zul Hulaifah. Umat Islam yang mengikuti baginda pada masa tersebut adalah seramai lebih dari seratus ribu orang. Rombongan tersebut memperlihatkan suasana yang sangat menarik dan semangat serta diberi penghormatan oleh sejarah sebagai suatu sanjungan dan penghargaan.
Inilah dia orang yang memulakan dakwahnya secara berseorangan dan bangsa Arab yang sebelumnya mereka semua berdiri menentang baginda malah mereka memerangi baginda dengan menggunakan apa sahaja yang mereka miliki, berlegar-legar di sekitar baginda dan berjalan di belakang baginda serta baginda memimpin mereka di dalam keadaan penuh tawaduk, penuh ketaatan, kasih dan sayang. Selepas berihram Nabi s.a.w menyampaikan khutbah kepada rombongan yang sangat besar tersebut. Baginda memberi nasihat kepada mereka dan mengajar mereka cara-cara untuk mengerjakan ibadat Haji di mana baginda bersabda kepada mereka: Yang bermaksud: Kerjakanlah ibadat Haji kamu sebagaimana aku kerjakan.
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment