Friday, January 13, 2012

Di Sebalik Kehidupan Insan Bernama 'MUHAMMAD'



بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum sahabat-sahabat sekalian. Semoga sahabat-sahabat sentiasa dalam rahmat Allah hendaknya. Pasti sahabat-sahabat sudah mengetahui dan mengenali siapa itu MUHAMMAD iaitu rasul terakhir kita iaitu Nabi Muhammad saw. Rasulullah adalah contoh terbaik bagi semua manusia sepanjang zaman. Kita selalu dengar tentang sirah-sirah Nabi Muhammad saw dan mungkin kebanyakan antara kita sudah mengetahuinya. Disini ingin berkongsi sedikit tentang kehidupan Rasulullah. Jadi,mari kita singkap beberapa kisah di sebalik kehidupan insan yang bernama MUHAMMAD ini.

Di Sebalik Kehidupan Insan Bernama 'MUHAMMAD'
  • Kalau ada pakaian yang koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya.
  • Baginda juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.
  • Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap di masak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyingsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur.Sayidatina 'Aisyah menceritakan: "Kalau Nabi berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga. Jika mendengar azan, baginda cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pulang kembali sesudah selesai sembahyang."
  • Pernah baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan.Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina 'Aisyah belum ke pasar. Maka Nabi bertanya, "Belum ada sarapan ya Khumaira?"(Khumaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina 'Aisyah yang berarti 'Wahai yang kemerah-merahan'). Aisyah menjawab dengan agak serba salah, "Belum ada apa-apa wahai Rasulullah." Rasulullah lantas berkata, "Kalau begitu aku puasa saja hari ini." tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.
  • Pernah baginda bersabda, "sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya."
  • Prihatin, sabar dan tawadhuknya baginda sebagai kepala keluarga.
  • Pada suatu ketika baginda menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu terus bertanya setelah selesai bersembahyang :"Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?". "Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar". "Ya Rasulullah... mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergesekan di tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit..." desak Umar penuh cemas. Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil,buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menimbulkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda. "Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?". Lalu baginda menjawab dengan lembut, "Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan ALLAH nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?" "Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah ALLAH buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di Akhirat kelak.
  • Baginda tidak pernah sedikitpun rasa tidak selesa makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor.
  • Hanya diam dan bersabar bila kain rida'nya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencingi si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.
  • Kecintaannya yang tinggi terhadap ALLAH swt dan rasa kehambaan dalam diri Rasulullah saw menolak sama sekali rasa ketuanan. Seolah-olah anugerah kemuliaan dari ALLAH tidak dijadikan sebab untuk merasa lebih dari yang lain, ketika di depan umum mahupun dalam keseorangan.
  • Ketika pintu Syurga telah terbuka, seluas-luasnya untuk baginda, baginda masih berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah, hingga pernah baginda terjatuh, lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak. Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh Sayidatina 'Aisyah, "Ya Rasulullah, bukankah engkau telah dijamin Syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?". Jawab baginda dengan lunak, "Ya 'Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur."

Nota :
  • Ya Allah, begitu tawaduknya Rasulullah menjalani kehidupan baginda. Kita sebagai ummat Nabi Muhammad saw perlu menjadikan Rasullullah sebagai teladan hidup kita. Sesungguhnya sesiapa yang sayang kepada Rasullullah,bersederhanalah seperti baginda.Sahabat sekalian, marilah sama-sama kita pebanyakkan selawat untuk baginda dan berdoa untuk mendapat syafaat dari Nabi Muhammad S.A.W. Rahsia kehidupan dan keduniaan banyak dalam sunah-sunah Baginda. Marilah kita sama-sama mengamalkan segala sunnah-sunnah Baginda. Kirimkan kepada sahabat-sahabat muslim lainnya agar timbul kesedaran untuk mencintai Allah dan RasulNya, seperti Allah dan RasulNya mencintai kita . Kerana sesungguhnya selain daripada itu hanyalah fana belaka. Usah gelisah apabila dibenci manusia karena masih banyak yang menyayangimu di dunia, tapi gelisahlah apabila dibenci Allah kerana tiada lagi yang mengasihimu di AKHIRAT.

No comments: