Wednesday, June 29, 2011

Pesan Buatmu Bakal Guru

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah wa syukuriLlah.. Segala puji-pujian adalah mutlak hanya untuk ALLAH swt, pencipta sekalian alam. Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. LailahaillaLlah MuhammadurrasuluLlah. Tiada Tuhan selain ALLAH, nabi Muhammad pesuruh ALLAH. 

Pertama-tamanya, PenaPGPI mohon kemaafan atas kelewatan artikel terbaru di sini. Kekangan masa serta ruang untuk menekan butang 'post' tidak seharusnya menjadi faktor utama dalam kelewatan ini. InsyaALLAH, PenaPGPI akan cuba memperbaikinya agar yang ternanti tidak terus menanti. 

Keduanya, diharapkan tidak terlewat untuk PenaPGPI mengucapkan SELAMAT DATANG kepada adik-adik baru bagi ambilan Jun 2011 ke Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar (IPGKRM). Kedatangan kalian amat dinanti dan dialu-alukan oleh PenaPGPI. Tahniah kerana telah menjadi sebahagian daripada kami warga IPG Kampus Raja Melewar pada tanggal 23 Jun 2011. Moga dengan keberadaan adik-adik disini dapat menyemarakkan lagi profesion keguruan kita di Malaysia.

Hakikatnya bukan mudah untuk menjadi seorang guru. Setepatnya adalah untuk menjadi seorang pendidik. Kewujudan dan keberadaan kita di sini menentukan jatuh bangunnya generasi mendatang. Kita dihantar kesini untuk menerima acuan sebagai seorang pendidik. Andai acuan kita penuh bengkang bengkok, maka anak didik yang bakal kita didik juga bakal menjadi bengkok. Andai benar dan betul acuan yang ada dalam diri kita, (insyaALLAH) dipermudahkan segala urusan untuk kita membentuk dan membimbing anak didik kita dalam acuan yang betul. Bagaimana yang dimaksudkan dengan acuan yang betul? Ada sesiapa mahu berkongsi pendapat? (boleh dihantar kepada emel kami di penapgpi@gmail.com)

Acuan sebenar yang perlu dibentuk dalam diri anak didik kita adalah mengkaitkan segala-gala dalam kehidupannya dengan penciptanya yang satu, ALLAH swt. Meletakkan hatinya sentisa mampir dengan Tuhannya yakni ALLAH swt. Tugas-tugas mendekatkan hati mereka dengan ALLAH swt bukan terletak hanya kepada mereka yang bergelar ustaz atau ustazah, bahkan ia seharusnya dipikul di atas tiap-tiap bahu yang memegang peranan sebagai seorang guru yang datang daripada pelbagai aliran subjek pengajaran. Tidak kira kita daripada unit Pendidikan Jasmani, Bahasa Inggeris, Pra Sekolah, Sains, Matematik, Sivik dan sebagainya; kita tetap seharusnya tahu dan melaksanakan tugas dan amanah untuk membimbing hati-hati putih suci ini pada jalan yang hak yakni benar.

Wahai bakal guru, ingatlah AKHLAKmu itu antara kunci utama dalam menyampaikan pengajaran yang berkesan dan terkesan di hati. (insyaALLAH). 

Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulum Ad-Din menekankan betapa perlu dan pentingnya keperibadian tinggi bagi seorang pendidik yang berkesan. Menurut Imam Al-Ghazali, seorang guru mesti mengamalkan ilmunya, janganlah perkataan beliau membohongi perbuatan. Ini adalah kerana ilmu dapat diperhatikan dengan mata hati, sementara perbuatan dapat dilihat dengan mata, sedangkan orang yang mempunyai mata lebih ramai. Kenyataan Al-Ghazali memperlihatkan bahawa amalan, tingkahlaku, akhlak dan peribadi pendidik lebih penting daripada ilmu yang dimiliki. 
(Razali Saaran. Hebatnya Cara Rasullullah Mendidik. mustread sdn bhd)

Sekadar ini sahaja untuk entri pada kali ini. Dibawah merupakan sedikit perkongsian video buat kita yang bakal menjadi pendidik. Moga dengan izin ALLAH, dapat membakar lagi semangat diri untuk menjadi pendidik yang Rabbani.

No comments: