Tuesday, February 15, 2011

Ya RasulluLlah.. Ya HabibaLlah..


Bismillahirrahmanirrahim.


RasulluLlah
dalam mengenangmu
kami susuli lembaran sirahmu
pahit getir perjuanganmu
membawa cahaya kebenaran

Engkai taburkan pegorbananmu
untuk ummatmu yang tercinta biar terpaksa
tempuh derita
cekalnya hatimu
menempuh ranjaunya

Tak terjangkau tinggi pekertimu
tidak tergambar
indahnya akhlakmu
tidak terbalas
segala jasamu
sesungguhnya engkau
Rasul mulia

Tabahnya hatimu menempuh dugaan
mengajar erti kesabaran
menjulang panji kemenangan
terukir namamu
didalam al-Quran

ALLAHUMMASOLLI'ALAMUHAMMAD! ALLAHUMMASOLLI'ALAMUHAMMAD! ALLAHUMMASOLLI'ALAMUHAMMAD!

Teman-teman mari sama-sama kita banyakkan berselawat keatas junjungan baginda Nabi Muhammad saw. Moga kita bakal dibangkitkan di padang Mahsyar kelak dalam kelompok umat Muhammad yang disebut-sebut dan dirindui baginda. 

Allah swt berfirman di dalam surah al-Ahzab ayat 56 yang tafsirnya bermaksud:

"Sesungguhnya Allah dan para Malaikatnya berselawat (memberi rahmat) kepada Nabi Muhammad saw oleh kerana itu wahai orang-orang yang beriman ucapkanlah selawat (meminta rahmat) untuk Nabi saw dan ucapkanlah salam dengan penuh kehormatan terhadapnya".

Taatlah perintah ALLAH dan tinggalkanlah segala larangan ALLAH. Tegakkanlah sunnah baginda walau dimana kita berada. Ingatan bersama dari PenaPGPI buat teman-teman. 

12 Rabiulawal tahun gajah. Merupakan tarikh keramat; lahirnya seorang manusia yang diangkat ALLAH untuk menjadi Rasul; menjadi petunjuk bagi umat manusia yang lemas dalam kehidupan jahil. Membunuh anak perempuan hidup-hidup, berzina, minum arak, menghambakan manusia dan 1001 macam sifat dan kelakuan yang jelas memperlihatkan bahawa mereka tiada tujuan hidup yang jelas dan terarah. Syukur. AlhamduliLah. ALLAH swt mengirimkan baginda sebagai cahaya menerangi gelap dunia dan pelita dalam gelap tiap-tiap jiwa. Membawa kita kepada kebenaran yang tidak lain hanyalah dengan mengabdikan diri hanya kepada ALLAH swt.

Namun, teman-teman. Mengapa kita seperti manusia yang tidak pernah tahu dan tidak mahu tahu perihal Nabi Muhammad saw? Kita lebih mementingkan cerita sensasi artis-artis pujaan, pemain bola sepak yang diminati, legasi manusia 'berkepala' dunia yang hanya melekakan kita daripada mengingati ALLAH sebagai matlamat hidup kita yang sebenar. Kita selalu mengangkat manusia lain sebagai idola hidup kita. Sedar atau tidak? Kenapa tidak untuk kita menjadikan Rasullullah saw sebagai ikutan kita? Sesungguhnya, Rasullullah saw merupakan sebaik-baik insan yang diciptakan ALLAH. Setiap aspek peribadi baginda tiada suatu pun yang bertentangan dengan norma sebagai seorang manusia. 

Justeru, teman-teman. 

PenaPGPI dengan sukacitanya mahu mengetengahkan peribadi Rasullullah saw yang mulia pada kali ini sebagai tatapan dan ikutan kita bersama. InsyaALLAH. 

Sifat dan akhlak Rasullullah saw


Diriwayatkan oleh Ya'kub bin al-Fawawy dari Hassan bin Ali r.a dia berkata, " Pernah aku tanyakan kepada bapa saudaraku yang bernama Hindun bin Abi Haala kerana dia adalah seorang yang pandai sekali dalam menyifatkan tentang peribadi Rasullullah saw, dan aku sangat senang sekali mendengarkan sifat Rasullullah saw untuk aku jadikan bahan ingatan.
Maka katanya, "Rasulullah SAW adalah agung dan diagungkan, wajahnya berkilauan bagaikan bulan purnama, tingginya cukup (tidak pendek dan tidak jangkung), dadanya lebar (bidang), rambutnya selalu rapi dan terbelah di tengahnya, rambutnya panjang sampai pada hujung telinganya, dan berambut banyak, mukanya bergabung menjadi satu, di antara kedua alisnya ada urat yang dapat dilihat pada waktu Baginda sedang marah, hidungnya membungkuk di tengahnya dan kecil lubangnya, nampak sekali padanya cahaya, sehingga orang yang memperhatikannya mengira hidung Baginda itu tinggi (mancung). Apabila berjalan derapan kakinya itu terangkat tinggi seolah-olah air yang sedang jatuh (jalannya ringan, kakinya terangkat, tetapi tidak seperti jalannya orang yang sombong), jalannya tunduk dan menunjukkan kehebatan, apabila berjalan, maka jalannya agak cepat bagaikan dia turun dari tempat yang tinggi, apabila menoleh, Baginda menolehkan seluruh badannya, matanya selalu tertunduk ke bawah, dan pandangannya sentiasa memperhatikan sesuatu dengan bersungguh-sungguh, selalu berjalan dengan para sahabatnya, dan selalu memulai dengan salam apabila Baginda berjumpa dengan sesiapa pun."

Kebiasaan Baginda

Kataku selanjutnya, "Terangkanlah kepadaku tentang kebiasaannya." Maka katanya, "Keadaan peribadi Rasulullah SAW itu biasanya tampak selalu kelihatan seolah-olah selalu berfikir, tidak pernah mengecap istirehat walau sedikit pun, tidak berbicara kecuali hanya apabila perlu, sentiasa diam, selalu memulai berbicara dan menutupnya dengan sepenuh mulutnya (jelas), apabila sedang berbicara Baginda selalu memakai kalimat-kalimat yang banyak ertinya (bijaksana), pembicaraannya itu jelas tanpa berlebihan ataupun kurang, lemah lembut budi pekertinya, tidak kasar, tetapi bukannya rendah, selalu mengagungkan nikmat Allah SAW walaupun yang sekecil-kecilnya dan tidak pernah mencelaNya sedikit pun.

Apabila ada orang yang memperkosa kebenaran, maka Baginda akan marah dengan sangat dan tidak ada seorang pun yang dapat menghalangi kemarahannya itu sampai kebenaran itu akan menang. (Dan dalam riwayat lain disebutkan, bahawa Baginda tidak pernah marah apabila berkenaan dengan urusan keduniaan, tetapi apabila ada sesuatu yang benar sedang diperkosa maka Baginda akan marah sehingga tidak akan memandang sesiapa

pun juga dan tidak akan ada yang dapat menghalangi kemarahannya itu sampai kebenaran itu menang, dan tidak pernah marah kerana dirinya). 

Apabila Baginda sedang memberikan isyarat (menunjuk), maka Baginda mengisyaratkan dengan seluruh telapak tangannya, apabila sedang takjub pada sesuatu maka Baginda balikkan telapak tangannya, apabila Baginda sedang berbicara maka sering Baginda memukulkan telapak tangannya yang kanan pada ibu jari tangan kirinya, apabila sedang marah maka sering Baginda berpaling. Apabila sedang bergembira Baginda sering tersenyum (ketawa), apabila tertawa Baginda sentiasa tersenyum saja, dan senyumannya itu serupa dengan embun yang dingin.

Rasullullah saw Apabila Di Luar

Mari kita hidupkan sunnah baginda!
Kata Hassan selanjutnya, "Kemudian aku tanyakan kepada ayahku bagaimanakah keadaan Rasulullah SAW apabila berada di luar. Maka jawabnya, "Rasulullah SAW sentiasa menjaga lidahnya kecuali hanya untuk berbicara seperlunya, apabila berbicara sentiasa berbicara dengan halus (lemah-lembut) dan tidak pernah berbicara dengan kasar terhadap mereka, dan sentiasa memuliakan terhadap orang yang terpandang (berkedudukan) dan memperingatkan orang jangan sampai ada yang bertindak menyinggung perasaannya dan
perbuatannya. Kebiasaan Baginda selalu menanyakan keadaan sahabat-sahabatnya, dan Baginda selalu memuji segala sesuatu yang baik dan membenci segala sesuatu yang buruk. 

Segala urusannya itu dibuatnya sebaik mungkin. Tidak pernah Baginda lalai atau malas, demi menjaga jangan sampai mereka melalaikan dan meremehkan. Segala sesuatu dipersiapkannya terlebih dahulu, dan tidak pernah akan meremehkan (mengecilkan) kebenaran. Orang yang paling terpandang menurut Rasulullah SAW ialah mereka yang paling baik kelakuannya, orang yang paling mulia ialah mereka yang paling banyak bernasihat (memberikan petunjuk) kepada orang lain, dan orang yang paling tinggi sekali kedudukannya ialah orang yang selalu ramah-tamah dan yang paling banyak menolong orang lain.".

Rasullullah saw Di Tengah Para Sahabat

"Maka aku tanyakan tentang keadaannya apabila Baginda sedang berada di tengah-tengah para sahabatnya. Jawabnya, "Rasulullah SAW sentiasa periang (gembira), budi pekertinya baik, sentiasa ramah-tamah, tidak kasar mahupun bengis terhadap seesorang, tidak suka berteriak-teriak, tidak suka perbuatan yang keji, tidak suka mencaci, dan tidak suka bergurau (olok-olokan), selalu melupakan apa yang tidak disukainya, dan tidak pernah
menolak permintaan seseorang yang meminta. 

Baginda meninggalkan tiga macam perbuatan :
Baginda tidak mahu mencela seseorang atau menjelekkannya, dan tidak pernah mencari-cari kesalahan seseorang, dan tidak akan berbicara kecuali yang baik saja (yang berfaedah). 

Namun apabila Baginda sedang berbicara maka pembicaraannya itu akan membuat orang yang ada di sisinya menjadi tunduk, seolah-olah di atas kepala mereka itu ada burung yang hinggap. Apabila Baginda sedang berbicara maka yang lain diam mendengarkan, namun apabila diam maka yang lain berbicara, tidak ada yang berani di majlisnya untuk merosakkan (memutuskan) pembicaraan Baginda. Baginda sentiasa ikut tersenyum apabila sahabatnya tersenyum (tertawa), dan ikut juga takjub (hairan) apabila mereka itu merasa takjub pada sesuatu, dan Baginda sentiasa bersabar apabila menghadapi seorang baru (asing) yang atau dalam permintaannya sebagaimana sering terjadi.

Baginda bersabda, "Apabila kamu melihat ada orang yang berhajat maka tolonglah orang itu, dan Baginda tidak mahu menerima pujian orang lain kecuali dengan sepantasnya, dan Baginda tidak pernah memotong pembicaraan orang lain sampai orang itu sendiri yang berhenti dan berdiri meninggalkannya."




Begitulah antara sifat dan peribadi Rasullulullah saw. Banyak lagi aspek peribadi baginda yang boleh dijadikan contoh tauladan buat kita semua. Antara lain, peribadi baginda terhadap ahli keluarganya, keadaan baginda yang sedang duduk, diam dan banyak lagi. Indahnya peribadi baginda, tidak akan tercapai oleh kita manusia yang penuh kelekaan dan keseronokkan duniawi.Namun, kita tetap perlu menanamkan dalam diri bahawa kita perlu mencontohi baginda kerana baginda lah sebaik-baik ikutan.

Video dibawah adalah sisipan perihal detik-detik terakhir Rasullullah di atas dunia ini. Lihat dan dengarilah cerita yang dibicarakan oleh syeikh al-Habib. ALLAHUMMASOLLI'ALAMUHAMMAD.




ALLAH..ALLAH..ALLAH..

Kurniakanlah kami kesempatan untuk bertemu kekasihMu. Sesungguhnya kami umat akhir zaman. Tiada Rasul dalam kalangan kami untuk memberi peringatan kepada kami kerana sesungguhnya tiada nabi mahupun Rasul setelah kewafatan Nabi Muhammad saw. Ya ALLAH, kami mengharapkan petunjuk..hidayah hanya dariMu ALLAH. Janganlah Kau sesatkan kami, ya ALLAH. ALLAH. ALLAH. ALLAH.

No comments: